Saturday, March 13, 2010

Kerajaan dijangka tangguh bentang rang undang-undang GST


KUALA LUMPUR, 13 Mac — Rang undang-undang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dijadual untuk dibentangkan buat kali kedua di Parlimen pada sesi bermula Isnin ini dijangka akan ditangguhkan.

Memetik sumber-sumber Kementerian Kewangan, Reuters melaporkan undang-undang itu yang dijangka akan menjana hasil RM8.8 bilion atas alasan kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk menggubal akta tersebut.

“Rang undang-undang ini tidak akan dibentangkan sesi ini memandangkan kerajaan memerlukan lebih masa untuk mendapatkan maklum balas daripada rakyat,” kata sumber itu.

Kerajaan merancang untuk memperkenalkan GST pada 2011 bagi menggantikan sistem cukai jualan dan perkhidmatan semasa bagi mengurangkan kebergantungan pada hasil minyak yang menyumbang kepada separuh daripada pendapatan kerajaan.

Dua hari lalu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata Kabinet dalam mesyuarat terbarunya hanya membincangkan aspek-aspek GST terutamanya pemahaman orang ramai tentang sistem cukai yang dicadangkan dan pelaksanaannya.

“Kita tidak kata batal. Kabinet membincangkan dengan terperinci pelaksanaannya dari segi kefahaman rakyat dan setakat mana mereka bersedia.

“Kita tidak mahu menghadapi masalah kemudian nanti, yang mungkin menyusahkan rakyat,” katanya apabila diminta mengulas spekulasi yang mengatakan pelaksanaan cukai itu dibatalkan.

“Tiada kata putus,” kata beliau yang juga Bendahari Umno.

Sebelum ini pelbagai pihak khususnya Pakatan Rakyat meminta kerajaan menangguhkan pembentangan bacaan kali kedua rang undang-undang GST pada persidangan Parlimen kali ini bagi membolehkan rang undang-undang itu diteliti terlebih dahulu.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata sebuah jawatankuasa khas Parlimen yang dianggotai pihak kerajaan dan pembangkang wajar ditubuhkan bagi tujuan itu memandangkan GST melibatkan kepentingan banyak pihak.

Di bawah jawatankuasa khas ini pula wajar ditubuhkan sebuah jawatankuasa kecil yang disertai persatuan pengguna, pengilang, akauntan dan percukaian bagi memperhalusi GST itu.

Rang undang-undang itu telah dibentang untuk bacaan kali pertama pada sidang Parlimen Disember lalu.


sumber: malaysiainsider

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails