Sunday, March 14, 2010

Pemuda PAS tolak pilihanraya PBT


Perang dingin antara pakatan pembangkang yang kononnya sudah reda, kembali membuak, ketika ini.

Keadaan itu berlaku ekoran tindakan Dewan Pemuda Pas hari ini yang membuat kenyataan terbuka mengkritik cadangan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan diadakan di Pulau Pinang dan Selangor.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, cadangan itu perlu terlebih dahulu dibahas secara matang dan terperinci oleh pakatan pembangkang dengan mengambil kira maklum balas oleh seluruh rakyat di kedua-dua negeri itu.

"Dewan Pemuda Pas berpendapat bahawa pilihan raya PBT itu masih belum sesuai untuk dilaksanakan pada masa ini kerana kita masih berhadapan dengan satu sistem pentadbiran dan pilihan raya yang masih lagi korup dan tidak telus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda Pas Pusat di Ibu Pejabat Pas Pusat di sini hari ini.

Pulau Pinang dan Selangor sebelum ini dilaporkan akan mengadakan semula proses pilihan raya PBT, seperti yang pernah diadakan 43 tahun lalu tetapi dimansuhkan pada 1965.

Nasrudin berkata, pihaknya sedar tujuan pilihan raya itu mahu diadakan semula ialah untuk membasmi masalah penyelewengan dalam PBT dan melibatkan penyertaan rakyat secara langsung.

Bagaimanapun, katanya, apa yang menjadi masalah ialah sistem induk utama di luar masih lagi berlaku penyelewengan dan ia perlu terlebih dahulu dipulihkan sebelum dilaksanakan cadangan itu.

"Perkara asas iaitu pengendalian pilihan raya dan amalan sistem demokrasi negara ini masih lagi tidak telus dan pulih.

"Jadi sebaiknya pulihkan dulu perkara itu sebelum dilaksanakan perkara selebihnya, jika tidak ia akan menjadi sia-sia kerana matlamat murni pilihan raya PBT itu pasti tidak akan tercapai," katanya.

Tambah beliau, kedua-dua kerajaan itu perlu melihat model pelaksanaan yang diamalkan oleh Kerajaan Pas Kelantan yang berjaya mentadbir PBT mereka selama lebih 20 tahun tanpa berlakunya sebarang penyelewengan.

Dalam perkembangan berasingan, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan saman terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan polis kerana didakwa telah menahannya secara salah pada 9 Mac lalu.

Mazlan mendakwa, tindakan polis yang menggunakan berpuluh-puluh anggota bagi mengepung jalan masuk ke Felda Lembah Klau, Raub, Pahang dan rumah peneroka yang dikunjunginya, seolah-olah beliau seperti penjenayah besar dan berbahaya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat mendakwa Felda telah mengeluarkan pekeliling yang mengharamkannya daripada memasuki mana-mana Felda.

Menurutnya, tindakan Felda tersebut merupakan pencabulan ke atas haknya untuk bergerak bebas di negara ini.

Sebelum ini, Anak telah menuduh agensi kerajaan itu telah menindas dan menganiaya peneroka, malah mereka juga telah membuat beberapa laporan polis terhadap pengurusan Felda termasuk memasuki tanah-tanah rancangan untuk berceramah mengenai penyelewengan yang didakwa berlaku itu.


sumber: KLPOS

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails