Monday, September 27, 2010

Arwah Chek Hashim disegani ramai di Gua Musang



GUA MUSANG, 27 Sept: Rakyat Gua Musang menerima dengan tabah kematian wakil rakyat mereka, Chek Hashim Sulaima, 47, selepas menderita penyakit barah paru-paru sejak lebih dua tahun lalu.

Mereka menganggap Adun Galas terbabit seorang pemimpin yang berjiwa rakyat kerana mudah mendekati masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

Beliau dikenali ramai sejak dilantik sebagai Penyelia Dun Galas pada 2004. Pada pilihan raya umum tersebut, beliau tewas kepada Mohd Saupi Deraman dari BN.

Setiausaha PAS Gua Musang, Azman Ahmad berkata, arwah disukai ramai kerana mudah mesra dan sentiasa bermurah hati membantu penduduk tanpa mengira masa.

Malah katanya, pemimpin Umno juga menyenangi kerana kewibawaannya sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

“Arwah mudah dilihat di mana sahaja termasuk kedai-kedai kopi bersama rakyat. Orang tidak segan datang ke rumahnya termasuk pada waktu malam.

”Penduduk di sini menyenanginya sejak sebelum menjadi wakil rakyat lagi. Maka tidak hairanlah biar pun Gua Musang terkenal sebagai kubu kuat Umno namun PAS boleh bertapak pada pilihan raya umum lalu,” katanya di sini.

Chek Hashim meninggal dunia kira-kira jam 4.30 petang tadi di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Keadaannya kritikal mulai jam 10 pagi tadi. Turut berada di sisinya ketika beliau mengembus nafas terakhir kedua-dua isterinya dan anak-anak.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan lima hari lalu. Arwah meninggalkan 12 anak dan dua isteri.

Jenazahnya dijangka dikebumikan di Kampung Kerinting, Gua Musang kira-kira jam 10 malam ini.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim menyifatkan kematian Allahyarham sebagai suatu kehilangan besar kepada PAS dan pemimpin yang sukar dicari ganti.

Katanya, beliau merupakan seorang wakil rakyat yang kuat bekerja serta menjaga rakyatnya dengan baik tanpa mengira fahaman politik dan kaum.

“Saya yakin kematiannya memberi kesan terhadap rakyatnya di Gua Musang, khususnya di Galas sendiri,”ujarnya.

Menurutnya, sikap allahyarham yang pandai menyantuni rakyat dan kuat bekerja sehingga membolehkan PAS menang di Dun Galas pada pilihan raya umum lalu.

Dewan Pemuda PAS Kelantan turut menyifatkan PAS kehilangan mutiara berharga.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, allahyarham bekerja keras bukan sewaktu menjadi wakil rakyat, sebaliknya sejak mula aktif dalam parti politik.

Katanya, walaupun allahyarham berkhidmat tidak sampai sepenggal, namun pemergiannya meninggalkan kesan yang mendalam di jiwa rakyat Gua Musang.

“Dia merupakan bekas anggota exco Pemuda PAS Kelantan, arwah memang kuat bekerja untuk parti, rakyat dan kerajaan, al-Fatihah untuk allahyarham dan sekalung takziah dari kami untuk keluarga allahyarham,” ujarnya.


No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails