Monday, September 13, 2010

PAS ucap takziah, gesa pendakwaan segera


KUALA LUMPUR, 12 Sept: PAS mengucapkan takziah kepada keluarga jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi yang telah dibunuh secara kejam.

"Bagi pihak PAS, kita merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan harap mereka tabah menerima ketentuan ini.

"Kes pembunuhan ini menggemparkan negara," kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengesahan pihak polis bahawa Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, telah dibunuh.

Mayat mereka juga dibakar, manakala abunya dibuang ke dalam sebuah sungai dekat Ladang Gadong, di Tanjung Sepat, Banting.

"Kita mahu pendakwaan segera dibuat terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan ini," katanya lagi.

Menurutnyan kes tersebut juga menggemparkan negara dan menunjukkan peningkatan kadar jenayah dalam negara.

"Kita harap pihak polis berusaha mengekang jenayah, jangan hanya kepong ceramah pembangkang sahaja," katanya.

Kes ini juga jelasnya merupakan cabaran buat Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Ismail Omar untuk menyelesaikan kes tersebut.

Kesemua mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.

Seminggu selepas itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya.

Polis sekurang-kurangnya telah menahan empat lelaki membantu siasatan.

Terdapat sumber menyatakan mereka termasuk dua orang peguam.

Mengulas dakwaan wujud campurtangan pihak ketiga dalam PDRM, beliau menggesa satu suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan.

"Kita tidak mahu dalam kes pembunuhan ini juga ada campurtangan pihak ketiga.

"Kita juga bimbang beberapa laporan polis yang dibuat terhadap pemimpin Umno BN sampai ke hari ini tidak diambil tindakan. Adakah ini juga wujud campurtangan pihak ketiga," soalnya.


harakahdaily

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails