Thursday, September 30, 2010

Gambar2 : RIBUAN UMAT ISLAM ZIARAHI AL MARHUM TUAN GURU PAK TEH



Pagi tadi saya dan Ust Abu Bakar Husein(PJ Perak) bersama ribuan umat Islam dari pelusuk negeri Perak dan sebahagiannya dari Kedah membanjiri pondok Pak Teh di Kg Kuak Luar, Pengkalan Hulu. Penghormatan terakhir diberikan oleh umat Islam ke atas Al Marhum Pak Teh (Tuan Guru Hj Abdul Latif Abdul Rahman) yang telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 12.30 pagi tadi. Kebetulan tarikh kematiannya bersamaan dengan tarikh kelahiranya pada 30.09.1938. Beliau meninggalkan seorang balu dan 11 orang anak dan meninggalkan ratusan murid yang masih berguru dengannya di pondok dan ribuan lagi di merata tempat dan ribuan bekas-bekas muridnya dari seluruh pelusuk negara.

Pemergiannya sangat mengejutkan ribuan umat Islam yang berguru dengannya, kerana malamnya beliau masih lagi mengajar di pondok sehingga hampir pukul 10 malam. Beliau sebenarnya sering keuzuran sejak ditimpa kemalangan tempoh hari, tetapi semangat dan cintanya pada ilmu mengatasi segala keuzuran yang dialaminya, walaupun uzur selagi ada kudrat dan selagi masih boleh bercakap, beliau tetap akan mengajar di merata tempat. Demikian menurut salah seorang anak muridnya yang sempat saya temui.

Pak Teh adalah Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Perak sehingga sekarang. Almarhum juga seorang pengasas dan pendiri Madrasah Addiniah Al Latiffiah (Pondok Pak Teh) yang masih mengekalkan tradisi pengajian secara pondok sejak tahun 1967 lagi. Pondok Pak Tehlah satu-satu pusat pengajian ilmu di Perak yang masih mengekalkan tradsisi membaca Kitab Kuning dan diajar secara tradisional. Sehingga sekarang 400 murid-muridnya masih mengaji secara tetap di pondok Pak Teh.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu pada tahun 1947 hingga 1953 dengan tamat darjah 5. Disebabkan kemiskinan keluarganya tidak mampu menyara pelajaran ke peringkat lebih tinggi lagi walaupun mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke MCKK. Walaubagaimanapun beliau berpeluang meneruskan pengajian agama secara pondok di Pondok Asam Jawa di Pendang, Kedah antara 1956 hingga 1959, Pondok Pasir Tumboh ad-Diniah Bakriah, Kelantan dari tahun 1959 hingga 1967. Beliau berguru dengan beberapa Tuan Guru yang terkenal antaranya Tuan Guru Hj Mohamad Saman Kati, Tuan Guru Abdul Rahman Ahmad, Tuan Guru Sulaiman Mohd Rabik dan juga ulama tersohor di Kelantan seperti Tuan Guru Mustafa, Tuan Guru Abdul Aziz dan Tuan Guru Hashim Abu Bakar Pasir Tumboh.




Di Pondok Pak Teh, murid-muridnya dari yang seusia paling muda belasan tahun sehinggalah warga tua dan pesara kerajaan yang tinggal di pondok untuk menghabiskan sisa hidup dengan beribadah dan mengaji. Dipondok itulah mereka mengaji secara berkitab dari satu kitab ke satu kitab dan dari satu bab ke satu bab. Pondok yang didirikan oleh Pak Teh semuanya hasil usaha Pak Teh sendiri di samping derma orang ramai, tidak mengharapkan sedikitpun bantuan kerajaan. Untuk menjana pendapatan Pak Teh dan murid-murid menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan. Yuran yang dikenakan pula terlalu murah, tidak sampai RM 50 setahun seorang pelajar untuk duit api dan air.Mengohormati kedudukannya sebagai ulama yang disegani dan dihormati, beliau telah dianugerahkan kurniaan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) sempena menyambut ulang tahun hari keputeraan Paduka Sultan Perak ke-76 pada tahun 2004. Tetapi kezuhudan dan rasa rendah diri, beliau lebih mesra dipanggil Pak Teh atau Tok Guru Pak Teh.

Sewaktu Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Negeri Perak, YAB Dato' Seri Hj Nizar sebagai Menteri Besar ketika itu telah meluluskan permohonan 45 ekar tanah kepada Pak Teh untuk sebahagianya bagi menjana pendapatan melalui tanaman getah, dan sebahagiannya untuk membesarkan lagi kawasan pondok pengajian.

PAS Perak pula telah memanfaatkan ilmunya kepada pimpinan PAS di semua peringkat dalam program Kuliah Tafaqquh Fiddin yang diadakan sebulan sekali di Surau Ustaz Zahid, Paya Renggam, Padang Renggas. Begitu juga PAS Kawasan Gerik sering menjemput beliau dalam program Ijtima' bulanannya di Markaz PAS Kerunai.

Solat Jenazah telah disempurnakan di surau tempat pengajiannya di Pondok Pak Teh kira-kira jam 11.45 pagi tadi diimami oleh anak saudaranya sendiri. Turut kelihatan Syeikh Mohd Noor Mansor (Pengarah JAIP), Ust. Shuiad Din (Ketua Dewan Ulama PAS Perak), Tuan Guru Hj Salleh dari Pondok Sik, Baling, YB Hj Taib Azamuddin (Ahli Parlimen Baling), Ust. Azezan Desa (Tim.Ketua Dewan Ulama PAS Perak), dan ramai lagi Adun & pimpinan PAS negeri dan kawasan-kawasan yang hadir. Beberapa pimpinan UMNO Bahagian Gerik juga turut kelihatan termasuk beberapa Adun & bekas Ahli Parlimen Gerik.

Dato'Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim (Timbalan Mufti Perak) dan beberapa pegawai dari Jaip dan Pejabat Mufti Perak juga kelihatan hadir.

Solat Jenazah kali ke 2 turut diadakan di Masjid Jamek Kg. Kuar Luar kira-kira jam 12.30 tengahari bagi memberi peluang ribuan lagi umat Islam mengerjakan solat Jenazah. Jenazah Al Marhum disambut tangan ke tangan dari tempat kediamannya sehinggalah sampai ke Masjid Jamek kira-kira 500 meter dari kediamannya.


Semuga rohnya ditempatkan bersama para anbiya, sahabat dan solehin. Amin. Al Fatehah.

http://misabah.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails