Tok Guru Nik Aziz selaku Murshidul Am Pas merangkap MB negeri Kelantan telah meletakkan asas yang kukuh dalam menggembalikan kegemilangan Islam di negeri Kelantan sebagai negeri serambi Mekah. Dalam masa 20 tahun pentadbiran beliau nescaya bukan sedikit jasa yang beliau pacakkan khususnya dalam membawa kegemilangan Kelantan bukan hanya duniawi tetapi juga kearah keredhaan Ilahi.
Berbaki hanya 3 tahun sahaja lagi untuk menyamai perjuangan Rasulullah Saw iaitu 23 tahun setelah dipilih menjadi Rasul hingga ke tarikh kewafatan Baginda. Walaupun Rasulullah Saw hanya memerintah Madinah al-Munawwarah selama 10 tahun sahaja.
Khilafah yang merupakan bebanan yang dipikulkan atas Adam a.s dan diwarisi kepada keturunan Baginda sehingga manusia akhir zaman. Para Nabi dan Rasul dahulunya sebagai pemimpin ummah memperjuangkan bukan sekadar untuk menegakkan aqidah yang sahih dan ibadah yang benar tetapi meliputi sistem ekonomi yang diredhai, sistem sosial yang yang berlandaskan agama dan meliputi segenap bidang kehidupan manusia bahkan sistem kenegaraan berteraskan perlaksanaan syariah Islam secara syumul dalam seluruh aspek kehidupan melalui institusi perundangan. Itulah yang dikatakan sebagai Khilafah ar-Rasyidah ‘ala Minhaj an-Nubuwwah.
Kewujudan dan keberadaan Khilafah itu bukanlah demi kekuasaan atau pemerintahan itu sendiri, melainkan untuk menegakkan syariah Islam yang memang wajib hukumnya. Khilafah ada demi syariah. Imam Ghazali dalam kitabnya al-Iqtishad fi al-I’tiqad menyebut hubungan kekuasaan dan agama atau gambaran eratnya hubungan Khilafah dan syariah. Kata Imam Ghazali,"Ad-diinu ussun wa as-sulthaanu haris. Wa maa laa ussa lahu fa-mahdumun wa maa laa harisa lahu fa-dhaa`i’." (Agama adalah asas dan kekuasaan adalah penjaganya. Apa saja yang tidak ada asasnya akan roboh dan apa saja yang tidak ada penjaganya akan hilang).
Sudah pasti usaha dan jihad kita untuk mendapatkan kuasa adalah kerana Allah Swt. Ingin melaksana dan mengakkan tuntutan Allah Swt. Inilah yang diperjuangkan oleh Rasulullah Saw dan para sahabat sehingga mengorbankan nyawa yang bukan sedikit termasuk masa dan harta-benda maupun tanah-air demi menegakkan sebuah Negara dan melaksanakan syariah Islam padanya.
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ
“Dan putuskanlah perkara di antara di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu dari apa yang telah diturunkan Allah kepadamu” al-Ma’idah :49
Firman Allah SWT :-
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا
Ertinya : Dan tidaklah boleh bagi seorang lelaki yang beriman dan wanita yang beriman itu, apabila Allah SWT & RasulNya telah menetapkan sesuatu hukum, maka mereka ingin memilih (mengikut suka hati mereka), dan barangsiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya, ia telah sesat dalam kesesatan yang nyata.
Atas semua faktor yang sudah diketahui inilah usaha Pas dalam menegakkan syariah dan segala hukum-hakamnya adalah merupakan tuntutan bersama. Ia merupakan matlamat perjuangan Gerakan Islam dan matlamat perjuangan umat Islam sedunia. Pas sendiri berjanji untuk melaksanakan Hukum Hudud pada pilihanraya 1990. Kerana itu selepas kemenangan yang diperolehi lalu Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993.
Berbanding negeri Terengganu meskipun telah ditandatangani oleh Tuanku Sultan Mizan dan diwartakan semasa pemerintahan Pas 1999-2004 tetapi kerajaan Umno-BN Terengganu kini mengamalkan perlaksanaan terpilih tetapi tidak melibatkan jenayah hudud & qisas. Manakala di Kelantan, undang-undang ini belum diwartakan dan di kuatkuasakan oleh Negeri Kelantan.kerana menghadapi permasalahan tertentu termasuklah halangan kerajaan Pusat pimpinan Umno-BN sendiri. Pengakuan Tok Guru untuk tetap melaksanakannya meskipun dikritik oleh Sultan Kelantan pada 19 Mei 1996.
Dalam perlaksanaan syariah selain hudud & qisas ia berjalan dengan baik dan dan berkembang dari masa kesemasa. Tok Guru mengumpamakan perlaksanaan hudud tertahan seumpama kereta berada dipersimpangan traffic-light. Enjin kereta tak mati tetapi menunggu lampu traffic-light bertukar dari merah kepada hijau. Diharapkan agar perlantikan Tengku faris yang dilihat lebih mesra agama dan nampaknya agak sehaluan dengan Tok Guru MB diharapkan inilah masa dan tempohnya lampu merah akan bertukar menjadi hijau. Janganlah sampai lama sangat menunggu sehingga kereta mati enjinnya akibat kehabisan minyak. Semoga dizaman pemerintahan Tok Guru inilah sempat dianugerahkan kemuncak perlaksanaan syariah ini sebagai legasi beliau menuruti perlaksanaan syariah di negeri Aceh Darul Salam, serambi Mekah Indonesia.
http://ustsaifulbahri.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment