Friday, September 3, 2010

Tahanan JI paling lama dibebas




KUALA LUMPUR – Seorang anggota Jemaah Islamiah (JI), Shamsuddin Sulaiman yang merupakan tahanan paling lama mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibebaskan semalam.

Pembebasan terhadap Shamsuddin, 40, (gambar) selepas lapan tahun ditahan di Kem Kamunting, Taiping, Perak dibuat selepas pihak keselamatan mendapati dia tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Shamsuddin yang berasal dari Masai, Johor ditahan oleh polis pada April 2002 bagi membantu siasatan berhubung penglibatannya dalam JI sebelum dimasukkan ke Kem Kamunting pada 13 Jun 2002 untuk program pemulihan.

Pengarah Pasukan Petugas Khas Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun mengesahkan pembebasan Shamsuddin dibuat atas arahan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dengan pembebasan Shamsuddin, baki anggota militan yang masih ditahan di Kem Kamunting tinggal lima orang dan kesemua mereka merupakan anggota JI.

Mereka ialah Shamsudin Hussin, Matin Anon Rahmat, Sulaiman Bukhari dan Abdul Latif Omar.

Seorang lagi ahli JI yang masih ditahan ialah Mas Selamat Kastari, seorang rakyat Singapura yang ditahan oleh pihak berkuasa negara ini pada 1 April 2009 selepas setahun bersembunyi di sebuah kampung di Johor.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails