Wednesday, March 31, 2010

Gerabak keretapi berasingan untuk lelaki, wanita

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bercadang untuk mewujudkan gerabak berasingan untuk penumpang lelaki dan wanita bagi perkhidmatan komuternya dalam usaha meningkatkan keselesaan para penumpangnya.

Presiden KTMB Aminuddin Adnan berkata tinjauan yang dijalankan oleh KTMB menunjukkan 60 peratus penumpang KTM Komuter terdiri daripada kaum wanita dan selebihnya lelaki.

Katanya jika keretapi komuter mempunyai tiga gerabak, satu gerabak akan diperuntukkan untuk mereka yang berkeluarga serta warga emas dalam usaha KTMB mewujudkan keselesaan penumpang serta meningkatkan mutu perkhidmatannya.

Bagaimanapun sebelum melaksanakan cadangan tersebut, ia perlu diperincikan bagi mengelakkan sebarang isu lain yang akan timbul, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program “Customer Service Star Award 2009” dan program Ikhlas Dari Hati di sini hari ini.

Aminuddin berkata, langkah pengasingan gerabak ini telahpun dilaksanakan di Jepun dan beberapa negara di Eropah.

Sementara itu, beliau berkata perkhidmatan komuter KTMB akan mendapat 38 set gerabak unit gandaan elektrik (EMU) yang baru dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatannya.

Beliau berkata KTMB juga akan membaiki 15 set EMU yang lama dan usaha ini diharapkan dapat mengatasi masalah keretapi lambat tiba serta isu perjalanan dibatalkan.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan bila KTMB akan mendapat gerabak EMU baru itu, yang mampu meningkatkan jarak masa ketibaan antara satu komuter dengan satu komuter yang lain selama 7.5 minit.

Penambahan gerabak itu adalah untuk menampung pertambahan penumpang komuter yang dijangka meningkat kepada 300,000 penumpang setiap hari, katanya.

Mengenai program Ikhlas Daripada Hati itu ia merupakan program KTMB yang memberi penekanan kepada tiga nilai perkhidmatan cemerlang iaitu empati, mesra dan ikhlas (EMI) yang akan diamalkan oleh kakitangan KTMB bermula esok hingga 31 Mei ini dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan KTMB, katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh program itu, seluruh kakitangan KTMB akan memakai butang lencana “Ikhlas Daripada Hati” sebagai tanda komitmen dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada para pelanggan.

- Bernama

KULIAH MAGHRIB AL-FADHIL USTAZ YUSSAINE YAHYA


KITAB SAIRUS SALIKIN DAN KITAB SYAMAIL MUHAMMAD


Surau Taman Jali,Kangar,Perlis


Pada malam ini jam 7.30 hingga 9.00 malam


Kuliah pertama selepas ustaz Yussaine pulang dari Mekah dan Madinah,banyak cerita menarik nak di kongsi


JOM PEDERAS PI SANA!!!

Berjuta ringgit habis, masalah banjir tidak selesai

KUALA LUMPUR, 31 Mac: Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) meminta Kerajaan Persekutuan berkerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengadakan kajian secara menyeluruh bagi menyelesaikan masalah banjir di Rantau Panjang yang berlanjutan sejak sekian lama.

Siti Zailah (gambar) berkata, tiada gunanya jika kerajaan menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk proses penstabilan Sungai Golok namun tidak dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat kawasan berkenaan.

"Program penstabilan itu tidak memberi kesan kepada masalah banjir sebaliknya kesan banjir semakin bertambah sebab benteng di sebelah Thailand lebih tinggi berbanding di Sungai Golok. Air dari Sungai Thailand mengalir ke sebelah Rantau Panjang.

"Saya tidak mahu jumlah wang sahaja banyak tetapi apa yang dibuat tidak memberi penyelesaian kepada rakyat. Sebab itu saya meminta pihak kementerian bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan supaya perkara ini dibuat kajian secara menyeluruh dan mengenal pasti punca sebenar berlakunya banjir," katanya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Sebelum itu, Siti Zailah meminta Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menyatakan status projek tebatan banjir di Rantau Panjang, berapa jumlah peruntukan diluluskan, bila dijangka siap dan bagaimana ia boleh mengatasi bencana banjir di Rantau Panjang.

Timbalan menteri berkenaan, Tan Sri Joseph Kurup dalam jawapannya memberitahu, sebagai langkah jangka masa pendek untuk mengurangkan kesan masalah banjir di Lembangan Sungai Golok, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan sejumlah lima projek untuk menstabilkan tebing Sungai Golok di Rantau Panjang melibatkan kos berjumlah RM28.2 juta.

Tiga daripada projek tersebut telah siap manakala dua lagi masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada bulan September 2010.

Bagi menangani masalah banjir dalam jangka panjang, pihak JPS sedang menjalankan penyediaan reka bentuk terperinci bagi Proposed Sungai Golok (KESBAN) Protection Scheme.

Sejumlah RM12.63 juta telah diperuntukkan untuk kerja-kerja reka bentuk ini. Kemajuan terkini kerja-kerja ini adalah 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2010.

Menurutnya, dalam reka bentuk terperinci ini, komponen-komponen kerja yang dicadangkan di Rantau Panjang ialah pembinaan floodwall, floodway dan menaik taraf sistem saliran dalaman di Pekan Rantau Panjang. Kerja-kerja ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa.

Siti Zailah yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut berkata, kerajaan harus mengambil iktibar daripada isu banjir di Kempas, Johor apabila masalah berkenaan belum menemui penyelesian meskipun tembatan telah dibina.

"Saya tidak puas hati apabila kerajaan mengatakan sudah beratus juta peruntukan diberi untuk menyelesaikan masalah ini sebab saya melihat kesan banjir ini terus berlaku.

"Sebab itulah saya mengatakan tadi, saya tidak mahu kerajaan menghabiskan berjuta ringgit sebagaimana yang berlaku di Kempas, Johor Bharu di mana setelah tembatan banjir dibuat, masalah penduduk semakin kronik. Kontraktor tidak mengambil kira soal saliran air. Isu yang sama berlaku di Rantau Panjang. Kita tidak mahu kerajaan hanya melepaskan batuk di tangga," katanya.

Rantau Panjang merupakan salah satu kawasan rendah yang sering menghadapi masalah banjir yang teruk pada musim tengkujuh setiap tahun.


sumber: harakahdaily

Sepanyol kekal pasukan bola sepak terbaik dunia


ZURICH 31 Mac - Sepanyol kekal sebagai pasukan bola sepak terbaik dunia dalam senarai kedudukan yang dikeluarkan FIFA hari ini manakala Portugal dan England masing-masing memperbaiki kedudukan dalam 10 terbaik.

Juara Eropah Sepanyol mengatasi Brazil di tempat kedua dan Belanda di tempat ketiha manakala Portugal (keempat) selepas naik dua anak tanggan dalam senarai kedudukan bulanan FIFA.

Juara dunia, Itali jatuh ke tempat kelima, Jerman (keenam) manakala England naik satu anak tangga di tempat ketujuh mengatasi Perancis yang tewas kepada Sepanyol 2-0 pada perlawanan persahabatan 3 Mac lalu.

Mesir menjadi pasukan terbaik bagi benua Afrika dengan berada di kedudukan ke-14 manakala Amerika Syarikat naik dua anak tangga ke tempat ke-16, satu tangga di atas Mexico.

Australia terbaik di Asia, naik empat anak tangga ke tangga 19 selepas menewaskan Indonesia pada kelayakan Piala Asia. - AP

Kangar,Perlis

Hj Mahfuz menggugat!!!

Salahuddin bertegas mahu Najib jelaskan `wang ehsan’

KUALA LUMPUR, 31 Mac: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (gambar) bertegas mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat penjelasan berhubung penggunaan istilah 'wang ehsan' yang didakwa mengelirukan dewan.

Beliau sebelum ini mendedahkan dokumen dan fakta berkaitan pembayaran royalti kepada Dewan Rakyat dan mendakwa perdana menteri itu telah mengelirukan Dewan Rakyat dalam jawapannya 4 November tahun lalu.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS sebelum ini memberikan tempoh tujuh hari kepada Najib dan kedudukan itu dijelaskan oleh Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Junaidi dalam penjelasannya memberitahu, Najib mempunyai pilihan sama ada untuk memberi penjelasan atau tidak berhubung perkara yang dibangkitkan Salahuddin itu.

Menurutnya, Salahuddin sewaktu membangkitkan perkara itu sebelum ini tidak meminta Najib untuk datang memberi penjelasan.

Bangun selepas itu, Salahuddin berkata rekod hansard parlimen menunjukkan beliau menyatakan memberi peluang kepada Najib untuk membuat penjelasan dalam masa tujuh hari.

"Datuk (Yang Dipertua), dalam hansard saya, saya ada menyebut saya memberikan peluang kepada Perdana Menteri selama 7 hari untuk membuat penjelasan di dewan yang mulia ini, itu ada dalam hansard saya," tegasnya.

Beliau juga mengambil contoh penjelasan tentang APCO yang dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah diberi tempoh seminggu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Nazri Aziz.

"Kalau saya berikan tempoh seminggu, apa salahnya Perdana Menteri datang ke parlimen menjelaskan apa maksud wang ehsan, apa maksud wang royalti supaya diberikan keadilan dan ruang yang sama (seperti Anwar) untuk memberikan penjelasan," katanya.

Terdahulu dewan dihangatkan dengan pertikaian isu Datuk Abd Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) pada 24 Mac lalu yang dibenar bangun di bawah peraturan mesyuarat 37(1)(a) yang kemudiannya pula dicelah Menteri di JPM.

Menteri ketika itu mencelah dengan memberi tempoh seminggu kepada Anwar membuat penjelasan isu APCO, dan jika gagal, Anwar dicadang dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

Anwar ketika membangkitkan perkara itu hari ini berkata, tindakan tersebut telah melanggari peraturan mesyuarat kerana menteri telah membuat cadangan berdasarkan peraturan yang salah.

Timbalan Speaker bagaimanapun menjelaskan pelanggaran peraturan mesyuarat yang berlaku adalah tidak begitu serius.

Dan jika ahli-ahli parlimen masih tidak berpuas hati, jelasnya, mereka boleh mengemukakan usul di bawah perkara 43 peraturan mesyuarat.

sumber: harakahdaily

AKU TAKUT!!!


Aku takut hantu!
Aku takut kena pecat!
Aku takut girlfriend aku lari! Aku takut tak da gaji!
Aku takut kalau dia tak suka! Aku takut nak tegur!
Aku takut nak cakap yang itu salah..!
Takut..! takut..! takut..!

Banyak sangat yang ditakutkan.
Dan ya, kau katakan kau takut kan Allah.

Kau takut Dia lupakan kau walau dalam masa beberapa saat. Haru biru hidup kau, ungu muka kau. Jadi putih mata kau.

Kau kata kau takut balasan dia. Takut masuk neraka. Takut dihisab pada hari setiap amalan diperlihatkan. Kau katakan lagi, kau takut Dia murka. Tak berani. Takut!!

Tapi..benarkah kau takut Dia?

Kau lagi takut hilang kekasih yang makhluk daripada hilang kekasih yang khalik (Pencipta)

Kau lagi takut hilang jawatan. Dan berani melanggar aturan Tuhan.

Kau lagi takut hilang penyokong. Sanggup mengata itu dan ini. Dan Kau tahu,itu bukan ajaran Tuhan mu yang turun sejak ribuan tahun lampau.

Kau tahu, Islam yang umurnya purba tak pernah purba dan tua dalam hidup. Dan kau tahu yang Islam ini adalah pedoman hidup mu.

Tapi kau lagi takut pada bukan yang sepatutnya.

Telah Dia ciptakan takut itu supaya untuk memberi mu peringatan. Tidak salah kau merasa takut. Tetapi salah kau meletakkan takut mu pada tempat yang salah.

Apakah benar takut pada Dia yang kau katakan itu. Atau kau hanya kata kau takut supaya tidak mahu orang lain kata kau tiada iman bertapak teguh dalam hati. Kau tahukah orang yang mengata itu, punya iman juga atau tidak?

Atau kau hanya mengata kau takut, supaya sedap hati kau. Supaya kau rasa terlepas dari belenggu karat pemahaman yang jahil?

Dan kau berani menentang takut kau pada Dia ,kerana hanya kau tidak nampak Dia dalam wajah Nya yang sebenar?

Dan kalaulah Dia menampakkan diri Nya,adakah kau akan terus berani menggunakan kata “TAKUT” itu?

Takutlah...


sumber: I LUV ISLAM

BAYI YANG LAHIR KESAN SENJATA AMERIKA DI IRAQ .

Semua wakil PR keluar sidang DUN Perak


IPOH, 31 Mac — Kesemua 28 wakil rakyat pembangkang keluar meninggalkan sidang Dewan Undangan negeri (DUN) Perak hari ini kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat yang masuk hari kedua.

Semua wakil daripada Pakatan Rakyat meninggalkan dewan kira-kira sejam selepas persidangan bermula pada 10 pagi.

Sebelum itu, sebaik sidang bermula dengan sesi soalan lisan, wakil-wakil pembangkang membuat kecoh membantah Speaker Datuk R. Ganesan sebagai tidak sah.

Sepanjang sesi berkenaan, wakil rakyat pembangkang terus membuat bising dan tidak mengambil bahagian bagi mengemukakan soalan hingga sesi berlangsung kira-kira 10.45 pagi. Hanya wakil Barisan Nasional mengemukakan soalan bagi sesi itu.

Bercakap pada sidang akhbar di luar dewan, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Pasir Panjang daripada PAS, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata wakil rakyat pakatan pembangkang meninggalkan dewan kerana Ganesan gagal memainkan peranannya sebagai Speaker dan tidak mengikut Perintah Tetap.

Sementara itu, Datuk Shaahrani Mohamad (BN-Rungkup) mencadangkan supaya gelaran Datuk Seri dan Datuk yang masing-masing dikurniakan kepada Mohammad Nizar, yang juga bekas Menteri Besar, serta Adun Sitiawan daripada DAP Datuk Ngeh Koo Kam dilucutkan oleh Istana Perak.

Ketika membahaskan usul menjunjung kasih atas titah ucapan perasmian siding dewan oleh Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah, beliau turut meminta supaya undian dibuat terhadap usul yang dikemukakannya itu. — Bernama


Malaysia Kekal Jauh Di Bawah Sempadan Pendapatan Tinggi


KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Walaupun unjuran pendapatan Malaysia terus menunjukkan trend meningkat secara beransur-ansur, ia kekal jauh di bawah sempadan "pendapatan tinggi", kata Majlis Penasihat Ekonomi Negara(NEAC).

Ia berkata dalam Laporan Bahagian Satu Model Ekonomi Baharu bagi Malaysia yang dikeluarkan Selasa, beberapa negara termasuk Korea, Poland, Slovakia dan Republik Czech telah berjaya membuat peralihan kepada status berpendapatan tinggi.

Laporan itu berkata sungguhpun kemiskinan mutlak telah dikurangkan, 40 peratus isi rumah masih pada tahap pendapatan yang amat rendah, terutamanya mereka yang berada di luar bandar.

Dalam jangka panjang, ini akan melengahkan mobiliti sosial, sekali lagi menghalang sebahagian besar rakyat Malaysia daripada membangunkan potensi mereka sepenuhnya untuk menyumbang kepada ekonomi.

Pasaran buruh di Malaysia tidak berfungsi dengan baik kerana kos pemecatan yang tinggi di bawah undang-undang buruh membuatkan pelabur keberatan untuk meneroka perniagaan baharu yang mungkin mengakibatkan pemecatan.

Sehubungan itu, beberapa pelabur mendapati adalah menguntungkan untuk menggaji tenaga buruh tidak mahir asing kerana undang-undang buruh tidak dilaksanakan sepenuhnya ke atas mereka.

"Ini, akhirnya, menurunkan tahap upah bagi semua pekerja," kata laporan itu, menambah bahawa ketegaran pasaran harus diperbaiki untuk membolehkan negara menarik lebih banyak pelaburan dalam sumber pertumbuhan yang baharu seperti pelancongan perubatan, teknologi maklumat dan komunikasi, dan produk serta perkhidmatan Islam.

Malaysia mengalami pengaliran keluar tenaga mahir kerana sistem pendidikan yang gagal untuk menghasilkan bakat yang diperlukan, serta kegagalan negara untuk mengekalkan bakat tempatan dari semua kaum mahupun menarik bakat asing akibat kekurangan prospek dan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Kekurangan bakat akan melengahkan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi dalam bidang kekuatan Malaysia seperti elektrik dan elektronik dan minyak sawit.

Laporan itu berkata tanpa bakat tempatan dan asing, Malaysia tidak akan berupaya menghalang hakisan pada kelebihan tradisionalnya dalam bidang komoditi dan pengilangan.

Untuk menggalakkan sektor swasta menjadi lebih anjal dan terus bertahan dalam persekitaran global yang berdaya saing, NEAC mengusulkan pembetulan kepada kelemahan dasar untuk memastikannya memenuhi prospek jangka panjang peniagaan.



-- BERNAMA

Malaysia bukan ‘dumping ground’ pelajar asing bermasalah


KUALA LUMPUR, 31 Mac — Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa Malaysia bukan tempat lambakan atau “dumping ground” bagi pelajar antarabangsa yang tidak berkelayakan atau bermasalah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dr Hou Kok Chung berkata kerajaan tidak berkompromi dalam soal kualiti pelajar asing yang diterima belajar di institusi pengajian tinggi dalam negara.

Beliau berkata oleh itu kerajaan menggalakkan institusi pengajian tinggi swasta untuk mengambil pelajar-pelajar antarabangsa di bawah tajaan kerajaan atau sesebuah organisasi.

“Ini kerana pelajar-pelajar ini dijamin dari segi komitmen dan kualiti,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) di Parlimen di sini.

Ismail dalam soalannya meminta supaya Menteri Pengajian Tinggi menyatakan jumlah pelajar asing di semua peringkat pengajian yang sedang menuntut dalam negara termasuk di Sekolah Antarabangsa.

Beliau juga mahu tahu jumlah kes pelanggaran undang-undang negara yang membabitkan pelajar asing sepanjang tempoh lima tahun lepas.

Menurut Hou sehingga 31 Disember lepas, Malaysia menerima hampir 80,700 pelajar asing dari lebih 150 buah negara dan daripada jumlah itu 22,400 menuntut di instituti pengajian tinggi awam manakala bakinya, 58,300 di institusi pengajian tinggi swasta.

“Ini bermakna, Kementerian Pengajian Tinggi berjaya mendahului sasaran 80,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2010. Data yang diperolehi daripada Kementerian Pelajaran Malaysia menunjukkan bahawa bilangan pengambilan pelajar antarabangsa di 51 buah Sekolah Antarabangsa di seluruh negara ialah hamper 16,600 orang,” katanya.

Beliau berkata secara umum jumlah kes jenayah yang membabitkan pelajar antarabangsa adalah kecil.

Menurutnya berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia 2009, jumlah kes jenayah kekerasan melibatkan pelajar antarabangsa ialah 17 kes, iaitu enam kes ugutan jenayah, empat kes merusuh, tiga kes curi, dua kes cabul, satu kes rogol dan satu kes mendatangkan cedera.

Kepada soalan lain Hou berkata, pihaknya mengambil beberapa langkah untuk menangani masalah berhubung pelajar asing seperti memperkemas kriteria-kriteria pengambilan melalui garis panduan permohonan persekutuan pelajar antarabangsa ke IPTS dalam negara.

“Selain itu sehingga 30 November lepas pihak Kementerian Dalam Negeri menarik balik lesen pengambilan pelajar antarabangsa yang dimiliki oleh 29 IPTS ekoran pelbagai kesalahan seperti mengambil pelajar antarabangsa untuk kursus yang belum memperolehi akreditasi profesional, tidak lagi beroperasi di premis yang didaftarkan dan tiada unit hal ehwal pelajar antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata IPTS juga perlu memaklumkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia dan kementerian mengenai pelajar yang tidak hadir ke kuliah bagi tiga hari berturut-turut atau kehadiran kurang daripada 80 peratus, CGPA kurang daripada 2 atau gagal peperiksaan serta tamat pengajian dan pulang ke negara asal.

Katanya kementerian juga dalam proses untuk mengguna pakai sistem “non objection certificate” atau NOC terhadap pelajar antarabangsa iaitu sijil sokongan daripada kedutaan negara asal mengenai kerakyatan mereka.

“Kementerian juga akan meletakkan syarat baru iaitu pelajar persendirian akan diwajibkan membayar deposit sebagai jaminan bahawa pelajar berkenaan mampu untuk belajar di Malaysia,” katanya.

Menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang), Hou berkata semua pelajar antarabangsa perlu menyesuaikan diri dengan budaya di Malaysia.

Katanya kementerian juga memastikan semua IPTS mengambil mereka dalam nisbah 20:80 bagi menjamin suasana yang betul-betul “Malaysian” untuk memudahkan pelajar asing berkenaan menyesuaikan diri dengan pantas. — Bernama

PIBG: Muhyiddin buktikan kerajaan pekak, angkuh


KUALA LUMPUR, 31 Mac: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyelar keangkuhan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghalang persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) membincangkan soal dasar atau polisi sistem pendidikan negara.

Ini ekoran di Parlimen semalam, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri memperingatkan bahawa tugas PIBG hanyalah berkaitan soal bagaimana untuk menambah baik pelajaran di sekolah yang mereka menjadi ahli sahaja.

Katanya, pandangan itu jelas menunjukkan kerajaan BN tidak terbuka menerima teguran rakyat dan masih mengamalkan dasar pekak telinga dan bersikap angkuh.

“PAS kesal dengan dasar dan pemikiran kecil beliau yang juga Timbalan Presiden Umno. PAS berpandangan bahawa PIBG juga adalah medium terbaik untuk para ibu bapa dan guru menyampaikan pandangan mereka khususnya yang melibatkan soal-soal pendidikan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Malah, katanya PIBG berhak untuk membincangkan atau memberikan pandangan terhadap dasar dan polisi pendidikan negara kerana itu semua akan memberikan kesan kepada anak-anak mereka.

Sepatutnya, kata beliau pihak Kementerian Pelajaran menjadikan PIBG rujukan utama sebelum sesuatu dasar itu diperkenalkan kerana mereka berhak dan lebih memahami keperluan pelajar dan anak-anak mereka.

Menurutnya, mesyuarat dan konvensyen PIBG akan menjadi lebih matang dan dilihat berwibawa jika mampu membincangkan soal-soal dasar dan polisi negara di samping tidak mengabaikan isu-isu dalaman sekolah.

“Jika mereka tidak diberikan ruang untuk bersuara, di manakah mereka ingin membawa pandangan mereka kerana tidak semua ahli PIBG terlibat dengan NGO atau parti politik. Jadi, apa salahnya mereka menggunakan medium yang ada untuk menyampaikan pandangan,” katanya lagi.

Secara sinis, katanya PAS mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin kerana membuktikan kebebalan dan keangkuhan kerajaan BN kepada rakyat.

Tambahnya, BN hanya melayan aduan atau pandangan yang selari dengan kehendak mereka, sedangkan pandangan yang tidak mengikut kehendak mereka diketepikan dan dianggap sebagai pandangan politik walhal isu yang disentuh jelas melibatkan isu pendidikan, bukannya politik.

“Kalau orang politik sekalipun, apabila berbicara isu pendidikan, ia tetap isu pendidikan, bukan isu politik dan tidak perlu dipolitikkan ternyata beliaulah yang cuba mempolitikan isu ini, bukan PIBG,” ujarnya.

Justeru, ujarnya PAS menawarkan kepada semua PIBG di negara ini untuk menyampaikan pandangan mereka melalui wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat jika BN sendiri sudah tidak mahu menerima pandangan mereka.

Beliau menambah, PAS akan memastikan wakil-wakil rakyat Pakatan akan membawa isu mereka ke Parlimen dan sidang-sidang Dun.

“Pakatan tidak sesekali membiarkan rakyat terus menerus dinafikan hak dalam memberikan pandangan, dan perjuangan kita adalah suara rakyat.

“PAS yakin rakyat akan memilih kerajaan yang lebih baik dan lebih terbuka dalam pilihan raya akan datang dan Pakatan Rakyat bersedia memberikan yang terbaik buat rakyat,” ujarnya.

sumber: harakahdaily

Ulama tiada kuasa vs Ulama ada kuasa


Antara isu yang sering dimainkan media ke atas gerakan Islam seperti PAS adalah dakwaan kononnya Pas anti hiburan. Mesej yang cuba dibawa dari dakwaan tidak berasas ini - amat berbahaya untuk memberi kepada gerakan Islam seperti Pas . Memberi sokongan kepada Pas ertinya menyokong supaya industri hiburan ditutup. Tiada konsert, tiada filem, tiada nyanyian. Begitulah fitnah yang sering dimainkan oleh musuh gerakan Islam.

Tidak dinafikan jika yang dimaksudkan hiburan itu adalah satu bentuk keseronokan yang bebas sepenuhnya dari sebarang sekatan dan kawalan maka Pas mengaku bahawa ia memang menentang hiburan sebegitu. Jika yang dimaksudkan dengan hiburan misalnya adalah nyanyian atau lakonan yang melibatkan pergaulan bebas lelaki dan wanita yang tidak terkawal , pakaian yang menjolok mata, senikata dan skrip yang tidak membina keperibadian manusia sepertimana yang ditonjolkan oleh Hollywood atau Bolywood dan ditiru oleh industri hiburan tanahair maka hiburan yang seperti itu akan pasti ditentang oleh Pas meskipun seluruh alam membenci Pas.

Bagi Pas hasrat manusia untuk berhibur adalah satu fitrah manusia. Memandangkan ianya satu fitrah maka adalah mustahil untuk Pas melarang perkara tersebut. Sebaliknya hiburan itu patut disuburkan bagi membantu manusia lari dari masalah dan kerunsingan yang mereka hadapi. Bukankah itu matlamat hiburan ?

Apa yang malang manusia barat mengaitkan hiburan dengan keseronokan yang tidak dikawal. Industri hiburan barat menghiburkan manusia dengan meminta manusia mengikut selera hawa nafsu manusia . Tiada had dan batasan dibenarkan. Hiburan barat adalah berdasarkan falsafah hedonism – keseronokan yang tidak dibatasi oleh sebarang sekatan dan kawalan. Sistem ekonomi kapitalisme bukan sahaja merangsang industri hiburan barat malahan ia juga menjadi pengawal kepada industri hiburan tersebut.

Soal adab, akhlak , maruah, harga diri dan keperibadian insan tidak ada dalam kamus kapitalisme dan dunia hiburan barat. Apabila manusia dibiarkan untuk mengikuti hawa nafsunya untuk berseronok atas nama hiburan ia hanya membantu manusia lari sementara dari masalah dan kerunsingan . Bagaimanapun selepas menikmati hiburan itu ia akan membawa manusia itu kepada beribu masalah yang lain. Paparan akhbar tentang apa yang berlaku kepada artis-artis negara barat dan juga di negara ini – masalah dadah, khalwat, zina, gay, mabuk, kadar penceraian yang tinggi adalah contoh yang boleh kita lihat di depan mata kita.

Sebagai gerakan Islam yang ingin membawa manusia kepada kebaikan dan kesejahteraan yang hakiki Pas tidak boleh membiarkan dunia hiburan terus dinodai oleh acuan dunia hiburan barat. Maka tindakan mengharamkan terus industri hiburan sudah semestinya bukan satu pilihan yang wajar dan bijak. Jika itu pilihan Pas maka ia adalah satu bentuk escapism. Jika itu yang dilakukan maka ia menjustifikasi dakwaan jahat musuh bahawa Pas adalah anti hiburan.

Justeru itu tindakan Kerajaan Kelantan membenarkan konsert jom heboh baru-baru ini bagi saya adalah satu tindakan yang positif dan patut dipuji. Sebelum ini kita juga dapat melihat Negara Iran yang dipimpin oleh golongan ulama telah berjaya membawa revolusi industry perfilemen negara itu – dari industri glamour kepada industry yang membina. Perfilemen Iran menunjukkan bahawa sesebuah filem itu masih mampu menang award meskipun tiada arak dan adegan seks di dalam filem.

Bagi yang tidak senang dengan Pas, tindakan Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru Nik Aziz membenarkan sure heboh di bumi serambi Mekah dilihat seolah-oleh menempelak kenyataan Mufti Perak sebelum ini yang mengatakan jomheboh atau sure heboh adalah haram.

Jika itu kritikan yang ditujukan kepada Kelantan , jawapan kita mudah sahaja. Haram atau tidak haramnya sesuatu perkara bukan hanya kerana namanya . Sebagai contoh adakah kasino itu haram kerana namanya kasino ? Bagaimanakah jika kasino menukar programnya dari yang berbentuk permainan dengan wang taruhan ( judi ) kepada permainan semata-mata tanpa ada unsur judi. Adakah ketika itu kasino masih haram hanya kerana namanya Kasino !

Sewaktu saya bersama dengan Presiden Pas bertemu para pelajar di Australia suatu ketika dahulu, Presiden Pas, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang memberikan satu contoh yang menarik kepada pelajar tentang kaedah hukum dalam Islam. Contoh yang beliau berikan adalah melibatkan makan nasi. Beliau mengatakan hukum makan nasi boleh jadi harus atau wajib atau haram mengikut keadaannya. Asal hukum makan nasi adalah mubah ( harus ). Bagaimanapun ia boleh bertukar menjadi wajib jika apabila seseorang itu dalam kebuluran dan hanya ada nasi sahaja dan tidak ada makanan lain di hadapan beliau. Makan nasi ketika itu jadi wajib kerana ingin menjaga nyawa. Makan nasi juga boleh jadi haram jika makan di waktu siang semasa berpuasa di bulan Ramadhan..

Hal yang sama juga boleh berlaku kepada sure heboh. Sure heboh boleh jadi harus atau haram mengikut keadaan . Jika program sure heboh dipenuhi maksiat sudah tentu ia haram. Tetapi jika kandungan maksiat di program itu dapat dibuang atau dielakkan adakah hukum program itu akan terus berkekalan haram hanya kerana namanya sure heboh. Sudah tentu tidak.

Kita percaya bahawa apabila Mufti Perak mengatakan sure heboh haram ianya bukan kerana namanya tetapi kerana isi kandungan program tersebut. Program sure heboh sebelum ini termasuk di Perak sendiri tidak dikawal .Para penonton lelaki dan wanita dibenarkan duduk bersama-sama . Artis wanita dibenarkan terkinja kinja menyanyi di pentas dengan pakaian yang tidak sopan dan tidak menutup aurat. Mufti Perak yang tidak bersandarkan kuasa politik tidak dapat berbuat apa-apa apabila sure heboh berkunjung ke negeri Perak sendiri. Beliau terpaksa akur melihat fatwanya dilanggar oleh orang-orang politik di negeri itu. Konsert sureheboh di Perak terpaksa mengikut gendang TV 3 sebagai penganjur program itu.

Keadaan yang sama tidak berlaku di Kelantan. Di Kelantan pihak penganjur terpaksa ikut gendang Kerajaan yang dipimpin oleh Ulama’. Apabila Kelantan bersuara tiada artis wanita – maka TV 3 ikut. Tiada percampuran lelaki dan wanita- sekali lagi TV 3 ikut. Inilah bezanya apabila Ulama yang bersandar dengan kuasa dengan ulama yang tidak mempunyai kuasa.

Ulama tiada kuasa hanya dapat menyatakan ini haram itu haram tanpa dapat berbuat apa-apa jika manusia tidak endahkan fatwanya. Apabila TV 3 tidak endah fatwa Ulama yang tiada kuasa maka ulama seperti Mufti Perak tidak boleh buat apa-apa .

Apabila ulama ada kuasa ia boleh bertindak dengan lebih aktif dan efektif. Ia boleh ‘dictate” pihak penganjur supaya tunduk kepada peraturan Kerajaan negeri. Akhirnya ulama yang ada kuasa boleh menawarkan rakyatnya hiburan alternatif yang terbaik kepada sure heboh yang diharamkan oleh ulama yang tiada kuasa.


Mohamed Hanipa Maidin,
AJK PAS Pusat.

MTD Jabi santuni warga emas, anak yatim

SETIU, 29 Mac: Program ziarah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Jabi dengan pihak Unit Peti Undi (UPU) Kerandang sebagai tuan rumah yang diadakan bermula petang Khamis lalu dan berakhir menjelang tengah malam Jumaat memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Ketua Penerangan PAS kawasan, Dr Azman Ibrahim berkata, program tersebut dalam rangka mendekati masyarakat setempat di samping mengadakan aktiviti yang melibatkan semua golongan yang akan diteruskan dari satu UPU ke UPU yang lain pula.

(Gambar kanan: Ismail dan Azman menziarahi warga emas yang uzur)

Program telah diisi dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan bermakna bermula dengan kuliah Maghrib, ceramah, qiyamullail, tazkirah dinihari, kuliah subuh, ziarah penduduk, bancian daftar pemilih, gotong royong, ziarah ore mude geng kite, BBQ pemuda dan tayangan LCD.

Katanya, rombongan yang diketuai Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Jabi, Haji Ismail Awang Teh itu turut menziarah ke teratak sembilan anak yatim piatu di Kampung Jebak Puyoh yang mana telah ada sedikit perubahan dengan serambi dan dapur dibina baru.

“Disebabkan ketiadaan bekalan air bersih, program gotong royong pada pagi telah berjaya menggali dan menyiapkan sebuah perigi untuk kegunaan mereka. Pemasangan motor dan paip air yang perlu disiapkan di mana pihak Unit Peti Undi Kerandang akan mengambil tindakan susulan,” ujarnya yang juga Timbalan Pengarah MTD Jabi.

Abang sulung bekerja sebagai penoreh getah sementara anak yang kedua sebagai buruh binaan untuk menyara tujuh lagi adik-adik yang masih bersekolah.

Kelihatan mereka adik beradik begitu tabah untuk cuba bangkit daripada kesedihan dan membina kehidupan baru di samping penduduk perlu memberi sokongan untuk menjadikan mereka lebih kuat dan bersemangat.

Mohd Roslan, 7, anak bongsu daripada sembilan beradik yatim piatu di Kampung Jebak Puyoh bersekolah di tahun satu Sekolah Kebangsaan Bukit Tempurong.

Jelas kelihatan riak wajah yang ketandusan kasih sayang setelah kehilangan ibu bapa.

“Walaupun saya cuba menceriakannya, tetapi hakikatnya air mata saya sendiri yang mengalir tanpa dibendung,” kata Dr Azman.

(Gambar kiri: Azman bersama anak yatim, Mohd Roslan)

Siri lawatan sebelum itu melibatkan UPU Renek yang menjadi tuan rumah dengan tenaga-tenaga petugas dari seluruh UPU.

Program yang bermatlamatkan ke arah mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang juga diisi dengan pelbagai aktiviti merangkumi kuliah Maghrib, ceramah motivasi petugas, gotong royong, bacaan Yaasin muslimat, qiyamullail dan yang pastinya program ziarah ke serata ceruk UPU Renek.

Pada kesempatan program dari pagi hingga petang keesokan hati, anggota rombongan bertemu dengan segenap lapisan penduduk yang mendedahkan pelbagai realiti kehidupan masyarakat yang menyentuh hati pimpinan PAS.

sumber: harakahdaily

Kejadian Bangunan Runtuh, Mungkin Satu Pembalasan

http://buletinonline.net/images/stories/berita23/inosruntuhnota.jpgPAS menggesa pihak terbabit menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh keatas kejadian bangunan Institut Oseanografi & Institut Akuakultur Tropika (INOS-AKUATROP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang runtuh semalam 29 Mac.

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata demikian ketika ditemui semalam.


”Kita (PAS) minta pihak yang bertanggungjawab melakukan siasatan secara terperinci, (mengenalpasti) punca menyebabkan keruntuhan (yang) berlaku,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan, kejadian demi kejadian bangunan runtuh yang semakin banyak berlaku dinegeri ini adalah ‘satu pembalasan’ akibat perbuatan zalim kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN).

”Kalau kita lihat, selepas daripada perobohan Masjid Bujal oleh kerajaan Barisan Nasional, jadi, tragedy keruntuhan bangunan-bangunan sentiasa berlaku, mungkin ini satu pembalasan daripada Allah SWT,”jelasnya

Katanya, perkara tersebut sepatutnya menjadi iktibar kepada pihak berkuasa supaya kerajaan berhati-hati mengambil tindakan dalam soal yang melibatkan kepentingan ugama dan orang ramai.

Oleh itu, katanya, peristiwa runtuhnya lantai tingkat empat bangunan INOS-AKUATROP di UMT adalah rentetan daripada peristiwa-peristiwa runtuh yang berlaku sebelum ini.

Oleh yang demikian, beliau mengharapkan, dengan kejadian ‘runtuh’ terbaru yang berlaku, kerajaan dapat membuat siasatan dan mengambil langkah pencegahan, supaya ianya tidak berulang.

Mengulas lanjut tragedi yang berlaku di UMT, beliau berpendapat tidak munasabah bangunan empat tingkat yang tinggi, tidak bertiang, menggunakan perancah (scaffolding) untuk membuat konkrit lantai.

Bagaimana pun, beliau berkta ianya perlu disiasat, termasuk kenyataan Menteri Besar yang menyatakan kejadian tersebut berlaku kerana kecuaian pekerja terbabit.

”Tengok dari gambar itu, bangunan itu, saya tak nampak ada ‘staging’ (perancah), saya pun kurang pasti, kalau ‘staging’ kalau tinggi (empat tingkat) begitu tidak munasabah,

”sekarang ni, perlulah dibuat siasatan supaya punca yang tepat, samada ‘staging’ itu patah atau pun tidak, perlu kepada siasatan yang tepat dan telus,”tegasnya.

Dalam kejadian yang beraku pada jam 5.15 petang semalam, pihak bo,bad an penyelamat merasakan ia berlaku kerana ketidakupayaan perancah menyokong struktur, lalu lantai tingkat empat yang sedang di konkrit runtuh.

Seramai lima orang pekerja warga Bangladesh terlibat dengan kejadian yang meragut salah seorang daripada mereka, manakala yang lain masih dirawat di hospital.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menyatakan, kejadian tersebut berlaku kerana kecuaian para pekerja terbabit.

sumber: pemudabesut

Menyelam bersama yu paus




CUACA yang begitu baik pada suatu pagi Julai tahun lalu membuatkan Adrin dan lima orang lagi penyelam membuat keputusan untuk menyelam di Pulau Tenggol, Terengganu.

Khabarnya, ada beberapa ekor ikan yu paus (whale shark) singgah di perairan pantai timur itu membuatkan mereka tidak sabar untuk menyelam.

Memang sudah rezeki mereka untuk bertembung spesies ikan terbesar dunia itu kerana selepas berenang beberapa minit, seekor anak yu paus berukuran kira-kira tiga meter memintas kumpulan mereka dan berenang melawan arus.

Disebabkan perasaan teruja, Adrin dan seorang temannya berusaha melawan arus untuk melihat anak yu paus itu pada jarak dekat.

"Kalau ikut perancangan saya dan ahli kumpulan lain akan menyelam mengikut arus air laut. Tetapi, selepas melihat paus itu memintas, saya dan seorang penyelam membuat keputusan berpisah dengan ahli kumpulan dan menjejaki yu paus itu.

"Selepas berada dalam jarak dekat, yu paus itu tiba-tiba berpusing dan menghadap kami. Jarak pandangan ketika itu pula begitu baik iaitu antara 15 hingga 20 meter," jelas Pengarah Operasi Seamonkey Dive & Travel Sdn. Bhd. itu.

Selepas mengambil beberapa keping gambar, Adrin dan temannya yang kepenatan melawan arus terpaksa berpatah balik dan mencari semula ahli kumpulan lain yang ditinggalkan tetapi mereka tidak kelihatan.

"Selepas beberapa ketika, saya terdengar bunyi ketukan silinder udara daripada ahli kumpulan yang terpisah. Saya berasa pelik apabila salah seorang penyelam membuat isyarat tangan supaya melihat ke atas.


PENGALAMAN menyelam bersama yu paus selama 30 minit di Pulau Tenggol, Terengganu satu kenangan manis buat Adrin.


"Rupa-rupanya anak yu paus tadi mengekori kami sepanjang kami berpatah balik. Buih-buih udara yang kami lepaskan menarik perhatian yu paus itu," katanya yang mempunyai pengalaman menyelam selama sedekad.

Adrin dan kumpulannya kemudian berkumpul dan naik ke paras cetek serta mengekalkan apungan neutral. Kepulan buih-buih udara yang terkumpul dengan banyak membuatkan yu paus itu leka bermain dengan buih-buih itu dalam keadaan berdiri.

"Kami semua berpeluang menyelam bersama yu paus itu kira-kira 30 minit. Ia adalah tempoh masa paling panjang dan pengalaman menyelam bersama yu paus paling menarik berbanding pengalaman-pengalaman sebelum ini.

"Petang itu kami menyelam sekali lagi dan bertembung dengan yu paus yang lebih besar tetapi keadaan air laut agak keruh dan mengehadkan pandangan. Yu paus itu juga hanya dapat dilihat sekejap sahaja," katanya.

Tidak bahaya

Dalam pada itu, tidak semua penyelam berpeluang berenang bersama yu paus. Seorang penyelam, Fina Arif, 28, berkata, dia masih belum berpeluang merasai pengalaman itu biarpun sudah empat tahun mempunyai lesen menyelam.

"Walaupun tidak pernah menyelam bersama paus, tetapi pengalaman menyelam bersama yu sirip hitam dan putih di Pulau Sipadan, Sabah begitu bermakna kerana di situ yu paus mudah ditemui.

"Saya pernah ke Pulau Sipadan dua kali dan setiap kali menyelam saya akan bertembung dengan yu paus. Saya harap dapat merasai pengalaman menyelam bersama mamalia marin gergasi itu selepas ini," katanya.

Ketua Jabatan Sains Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Razak Zakariya memberitahu, yu paus atau nama saintifiknya
YU paus tidak berbahaya kepada manusia kerana makanannya ialah plankton dan udang geragau.


Rhincodon typus tidak berbahaya kepada manusia kerana makanannya ialah plankton dan udang geragau.

Ancaman yu paus

"Kelibatnya banyak kelihatan pada bulan Mac dan April di perairan Malaysia ketika musim udang geragau membiak di Terengganu dan berpindah ke perairan Sabah dan Sarawak antara bulan Mac hingga April sehingga musim udang geragau berakhir.

"Yu paus ini juga pernah dilihat beberapa kali di sekitar perairan Pulau Payar, Langkawi sehingga bulan Julai dan di perairan Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Australia" katanya mengenai satu-satunya spesies seumpamanya yang wujud di Malaysia.

Menurut Razak, ancaman bagi spesies yu paus ialah aktiviti penangkapan ikan nelayan yang tidak sengaja menyebabkan yu paus terperangkap di dalam pukat hanyut.

"Pada waktu siang spesies ini menghabiskan masa dengan mencari makanan berhampiran permukaan laut tetapi pada waktu malam atau ketika migrasi, mereka berenang di laut dalam sehingga mencapai kedalaman 700 meter.

"Bagaimanapun, rekod rasmi mengenai bilangan spesies ini masih belum diketahui dan rekod migrasinya masih dalam proses kajian," katanya.


PULAU Tenggol di Terengganu antara pulau yang pernah menjadi lokasi persinggahan yu paus tahun lalu.


Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut (JTL), Kamarruddin Ibrahim berkata, kajian mengenai migrasi yu paus tidak dapat dijalankan secara serius kerana kesukaran mengesan spesies itu di perairan negara.

"Kajian mengenai yu paus dijalankan secara minimum kerana kekurangan maklumat dan hanya dilakukan apabila berlakunya kejadian yu paus tersadai di pantai atau terperangkap dalam pukat nelayan secara tidak sengaja.

"Kebanyakan kajian yang dilakukan pula adalah mengenai saiz, berat dan punca kematian yu paus, bukan kajian migrasinya kerana spesies ini sukar dikesan berbanding penyu yang singgah di pantai untuk bertelur," katanya.

Jelas Kamarrudin, JTL tidak bertanggungjawab ke atas aktiviti manusia terutama nelayan terhadap yu paus di luar kawasan taman-taman laut kerana ia adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Perikanan.

"JTL dipisahkan dengan Jabatan Perikanan sejak 2004 dan diletakkan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi menguruskan Taman-taman Laut Malaysia.

"Sebarang aktiviti atau kempen kesedaran di kalangan nelayan menjadi tanggungjawab Jabatan Perikanan terutama apabila ia berlaku di luar kawasan Taman-taman Laut Malaysia," katanya.

sumber:KOSMO

Adik presiden UAE maut dalam kemalangan peluncur

DUBAI, 30 Mac — Sheikh Ahmad bin Zayed Al Nahyan, adik kepada presiden Abu Dhabi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Khalifa Bin Zayed Al Nahyan, disahkan terbunuh dalam kemalangan peluncur di Maghribi Jumaat lepas.

Media negara WAM melaporkan Kementerian Hal Ehwal Kepresidenan mengumumkan acara berkabung tiga hari mulai Rabu dan pada tempoh itu bendera akan dikibarkan separuh tiang.

Saluran TV tempatan menyiarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran pada Selasa setelah berita kematian Sheikh Ahmad disiarkan.

Dilahirkan pada 1971, Sheikh Ahmad (kiri) merupakan pengarah urusan Lembaga Pelaburan Abu Dhabi (Adia) dan pengerusi lembaga amanah Yayasan Zayed bagi Kerja-kerja Amal dan Kemanusiaan.

WAM melaporkan peluncur berkenaan terhempas ke dalam sebuah tasik dekat Empangan Sidi Mohammad Bin Abdullah berhampiran ibu negara Maghribi, Rabat.

Laporan media menyatakan juru pandu peluncur itu dapat diselamatkan sementara pasukan pencari melancarkan operasi mengesan Sheikh Ahmad yang hilang dalam kemalangan itu.

Beliau berada pada ranking ke-27 orang paling berkuasa di dunia dalam senarai Forbes tahun lepas. Adia dikatakan memiliki aset bernilai lebih AS$400 bilion. — Bernama

15 mayat bayi di sungai China


SEORANG lelaki mengumpulkan beg plastik berisi mayat bayi dekat jambatan di Jining, wilayah Shandong, pada 28 Mac lalu. - AGENSI


BEIJING 30 Mac - Sebanyak 15 mayat bayi ditemui di sebatang sungai di timur China, disyaki dibuang sebagai sampah oleh sebuah hospital berhampiran.

Usia mayat-mayat bayi yang ditemui di wilayah Shandong itu tidak dapat ditentukan, namun saiznya menunjukkan ia baru dilahirkan dengan satu daripadanya masih berupa janin, demikian menurut Beijing News.

Pihak berkuasa berkata, mayat-mayat yang ditemui itu mungkin perbuatan menggugurkan kandungan atau bayi yang mati selepas jatuh sakit.

Mayat-mayat bayi malang itu ditemui di pinggir bandar Jining.

Pengguguran bayi menjadi perkara biasa di China di mana tidak kurang 13 juta kelahiran bayi mati setiap tahun, berikutan langkah menyekat kelahiran kebangsaan digelar 'polisi satu anak' yang membenarkan setiap pasangan di bandar hanya mempunyai satu waris sahaja.

Polisi itu mendorong pengguguran berleluasa bayi perempuan di China, yang mana masyarakat China secara tradisinya lebih menyukai anak lelaki.

Menurut saksi, sesetengah mayat mempunyai label tarikh lahir dan nama ibu, namun masih belum dipastikan mereka datang dari hospital mana, kata laporan tersebut.

Laporan tidak memberi maklumat terperinci tentang tarikh lahir. Satu daripada mayat-mayat bayi itu dibungkus dalam beg plastik yang tertera tulisan 'sisa hospital'.

Zhong Haitao, pegawai jabatan kesihatan di Jining berpendapat, mayat bayi-bayi itu dibuang ke dalam tong sampah, manakala sebahagiannya jatuh ke dalam sungai berdekatan. Siasatan rapi sedang dijalankan.

Jabatan kesihatan ketika dihubungi enggan memberi komen. - AFP

sumber:utusanmelayu

Tuesday, March 30, 2010

Apco: PAS cadang Majlis Raja-Raja campur tangan

KUALA LUMPUR, 30 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfiz Omar (gambar) mencadangkan Majlis Raja-Raja Melayu campur tangan dalam inisiatif kerajaan melantik Majlis Penasihat Antarabangsa Apco Worldwide (IAC) sebagai syarikat perundingan total kepada komunikasi negara.

Cadangan sedemikian penting kerana dengan partisipasi syarikat yang dikaitkan dengan jaringan Zionis-Israel, meletakkan tahap keselamatan negara dalam bahaya.

"Selain mengusahakan tubuh Suruhanjaya Diraja, Majlis-Majlis Raja Melayu juga perlu campur tangan kerana isu ini secara tak langsung membabitkan kepentingan negara, kepentingan Islam.

"Isu ini adalah isu yang serius kerana berkiatan keselamatan negara dan boleh menjadi ancaman pada keamanan negara," ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan mustahil membekalkan maklumat biasa berkaitan tanah air kerana fungsi sebenar Apco adalah menguruskan komunikasi strategik ke atas rakyat.

Ujarnya lagi, seperti suatu syarikat komunikasi antarabangsa yang pernah menjual maklumat strategik kepada Amerika ketika meletusnya Perak Teluk di Asia Barat, tidak mustahil perkara demikian berulang di Malaysia.

Sebelum pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir kerajaan kerana melantik Apco sebagai firma perunding imej kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan serta gagasan 1Malaysia.

"Tentang 1Israel' (dan) 1Malaysia', ia tidak boleh semuanya dianggap sebagai kebetulan," ujarnya.

Tambahnya lagi, dengan penyertaan beberapa bekas perisik Agensi Keselamatan Israel (ISA) dalam firma perundingan itu seharusnya memerlukan penjelasan jujur daripada Najib sendiri, mewakili Presiden Umno/BN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, sekurang-kurangnya Najib wajar menafikan segala dakwaannya di Dewan Rakyat pada sesi penghujahan semula, tengah hari tadi.

Turut menyertai Mahfuz dan Anwar di lobi Parlimen adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Dakwaan Apco seolah-olah mempunyai hubungan langsung dengan jaringan Zionis-Israel sekaligus mencemarkan wawasan 1Malaysia yang cuba diperkenalkan Najib.

sumber: harakahdaily

Sungai Buloh hab baru Lembah Klang


Berikut antara intipati Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini:

* Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan dibenar melabur lebih bahyak lagi di dalam aset di seberang laut.

* Lembaga Kemajuan Industri Malaysia (MIDA) akan dikorporatkan dan akan dinamakan semula sebagai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk membolehkannya lebih efektif sebagai satu agensi promosi pelaburan.

* Kerajaan dan KWSP akan membentuk usahasama bagi menggalakkan pembangunan tanah seluas 1,200 hektar (3,000 ekar) di Sungai Buloh untuk menjadi satu hab baharu bagi Lembah Klang.

* Beberapa bidang tanah di Jalan Stonor, Jln Ampang, Jln Lidcol di Kuala Lumpur akan ditender dan dimajukan oleh sektor swasta, yang jika gagal akan merupakan satu pembaziran kerana kerajaan membelanjakan kos penyelenggaraannya.

* Pembangunan tanah di Sungai Buloh dan pembangunan beberapa bidang tanah di bandar raya ini dijangka menjana pelaburan baharu bernilai lebih RM5 bilion

* Syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan seperti Percetakan Nasional Malaysia, CTRM Aero Composites Sdn. Bhd., Nine Bio Sdn. Bhd. dan Innobio kemungkinan diswastakan.

* Petronas telah mengenal pasti dua subsidiari yang agak besar dengan rekod prestasi yang baik untuk disenaraikan pada tahun ini di Bursa Malaysia, yang akan mengurangkan kehadiran kerajaan di dalam perniagaan dan meningkatkan peranan sektor swasta.

* Khazanah Nasional Bhd. akan melupuskan kawalan kepentingan 32 peratusnya di dalam Pos Malaysia Bhd melalui proses pelupusan strategik dua peringkat.

sumber:KLPOS

Arak di Malaysia semudah beli air minuman


KUALA LUMPUR, 30 Mac: Arak di Malaysia boleh diperolehi dengan mudah seumpama membeli air minuman yang lain sama ada di pasar raya, restoran, hotel, kedai runcit mahupun di kedai serbaneka seperti 7 Eleven yang dijual tanpa kawalan ketat.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) memandang serius kenyataan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud yang mendedahkan bahawa Malaysia adalah antara 10 negara tertinggi di dunia dalam pengambilan arak di dunia.

Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, dalam kenyataan di Parlimen semalam, Dr Mariah juga mendedahkan bahawa rakyat negara ini membelanjakan sebanyak USD500 juta iaitu lebih kurang RM1.75 bilion bagi pembelian minuman keras.

Penjualan arak berkembang di antara 5 hingga 7 peratus setahun melebihi kadar pertumbuhan penduduk iaitu 2.4 peratus, manakala umur purata ketagihan arak ialah 23 tahun.

Mohamad Suhaimi juga merasa terkejut dengan pendedahan AJK PAS Pusat itu bahawa terdapat peningkatan kadar pengambilan alkohol di kalangan remaja khususnya di bawah umur 18 tahun iaitu kira-kira 45 peratus, dan mereka mengambilnya secara berterusan.

“DPPWP juga merasa kesal kerana arak dengan mudah mendapat tempat untuk tajaan dan iklan di mana-mana akhbar media arus perdana mahupun di televisyen,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Kerajaan pula, katanya dengan sengaja memberikan lesen kepada pengusaha kelab-kelab malam dan pusat hiburan untuk beroperasi tanpa kawalan yang sewajarnya.

“Kelab-kelab malam inilah juga penyumbang kepada berleluasanya minuman arak sehingga menyumbang kepada gejala sosial yang lebih parah,” ujarnya lagi.

Soalnya, bagaimanakah penjualan dan pengambilan arak boleh bertambah dalam keadaan negara Malaysia yang sudah diisytiharkan sebagai sebuah negara Islam dan termaktub juga di dalam Perlembagaan bahawa agama rasmi negara ini adalah Islam.

Beliau juga mempersoalkan mengapa tidak ada kawalan keras dari kerajaan sebagaimana kawalan yang sama dilakukan terhadap penyalahgunaan dadah yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

“Dalam Islam, hukuman yang sewajarnya kepada peminum arak adalah disebat dengan 40 hingga 80 kali sebatan. Soalnya, mengapa undang-undang ini tidak terpakai khususnya kepada umat Islam?” soalnya lagi.

Sepatutnya, kata beliau arak perlu diharamkan terus di Malaysia dan alasan bahawa negara ini mempunyai masyarakat majmuk tidak boleh diterima sama sekali kerana kesan arak yang boleh membahayakan kesihatan sama seperti penyalahgunaan dadah dan menghisap rokok.

Tambahnya, arak juga sebagai salah satu penyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mengetatkan kawalan terhadap penjualan arak seperti mengharamkan penjualannya di kedai-kedai runcit dan serbaneka seperti di kedai 7 Eleven di samping premis-premis hiburan pula perlu ditutup kerana ia langsung tidak memberi kebaikan kepada rakyat.

DPPWP juga, katanya meminta kerajaan mengharamkan arak untuk diiklankan di mana-mana media eletronik mahupun cetak agar tidak mendapat publisiti murahan.

“Apakah gunanya hasil cukai yang haram dari arak ini kepada kerajaan sedangkan dalam masa yang sama ribuan umat Islam menderita akibat ketagihan arak dan hidup dalam keadaan berdosa,” ujarnya.

sumber: harakahdaily

Lagi bayi ditemui di tempat buang sampah

gambar hiasan untuk renungan

IPOH, 30 Mac — Bayi baru lahir yang dijumpai berhampiran tempat pembuangan sampah sebuah pusat membeli belah di sini pada 20 Mac lepas akan ditempatkan sementara di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak.

Jabatan Kebajikan Masyarakat hari ini mendapat perintah Mahkamah Majistret untuk menempatkan bayi berkenaan di rumah perlindungan itu.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman berkata bayi yang dinamakan sebagai Masya Qurniea Abdullah akan ditempatkan selama satu bulan untuk menanti tuntutan waris.

Hamidah, yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk mengambil bayi itu sebagai anak angkat, berkata penempatan Masya di rumah perlindungan itu adalah mengikut peraturan sedia ada dan permohonan pengambilan anak angkat hanya boleh dibuat selepas tiada waris membuat tuntutan.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi isteri Menteri Besar Perak Datin Seri Saripah Zulkifli melawat Masya Qurniea di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Bayi yang hanya berbalut kain ditemui berhampiran tempat pembuangan sampah oleh orang awam sebelum dimasukkan ke HRPB.

Dalam pada itu, janin sebesar dua jari dijumpai dalam balang plastik bertutup di hadapan pintu pagar, Tokong Foo Yan dekat Jinjang Utara, Jinjang, Kuala Lumpur malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata janin yang dipercayai lelaki itu dijumpai seorang lelaki yang merupakan penjaga di tokong itu kira-kira pukul 11.30 malam ketika dia meronda di tokong itu.

“Janin yang masih bertali pusat dengan panjang kira-kira 10 sentimeter itu dianggar empat bulan dan cukup sifat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Janin itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

sumber: malaysiainsider

Din Beramboi kritikal dijangkiti virus kencing tikus


KUALA LUMPUR 30 Mac — Seorang penyampai radio popular yang juga personaliti televisyen, Mior Ahmad Fuad atau lebih dikenali sebagai Din Beramboi, kini dalam keadaan kritikal selepas dipercayai dijangkiti virus kencing tikus.

Din Beramboi, 43, dimasukkan ke Hospital Selayang kira-kira 3.25 petang semalam, demikian menurut jurucakap hospital itu ketika dihubungi hari ini.

"Doktor mengesahkan keadaannya kini sangat kritikal dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi,” menurut jurucakap itu.

Punca beliau dijangkiti penyakit itu masih dalam siasatan, kata jurucakap itu lagi.

Selain menjadi penyampai radio, Din Beramboi juga pernah bergiat dalam bidang nyanyian, kartunis, pelakon dan pernah menjadi juri dalam rancangan program realiti Raja Lawak baru-baru ini.

— BERNAMA

1Malaysia: Rakyat makin sangsi kedudukan Najib


KUALA LUMPUR, 30 Mac: PAS melihat bahawa rakyat juga semakin sangsi dengan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat gagal memberikan kefahaman kepada ahli Umno terhadap gagasan 1Malaysia.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, penyertaan ahli-ahli Umno dan sokongan mereka terhadap kumpulan pelampau Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) sebagai bukti jelas bahawa Umno tidak serius dalam gagasan 1Malaysia.

“Mungkinkah wujud penentangan terhadap Najib dan gagasannya itu sehingga membuatkan ahli dan pemimpin Umno secara terbuka menyokong Perkasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya PAS berharap agar rakyat menyedari perkara itu dan bersatu menolak pelampau perkauman itu.

“PAS menyeru rakyat hidup bersatu padu dengan rasa muhibbah tanpa perlu melakukan apa-apa provokasi melampau,” ujarnya.

Kaum bukan Melayu pula diseru menghormati hak-hak keistimewaan Melayu yang ditetapkan perlembagaan dan kaum Melayu diharapkan tidak mendiskriminasikan kaum bukan Melayu.

Menurutnya, kesefahaman dan tolak ansur menjadi kunci perpaduan rakyat selama ini dan ianya perlulah dikekalkan.

Justeru, katanya gagasan 1Malaysia tidak perlu jika organisasi perkauman atau parti politik perkauman tidak wujud kerana merekalah yang sering menyemarakkan rasa benci, dendam dan amarah antara kaum di negara ini.

Tambahnya, gagasan berkenaan hanyalah gimik politik bagi menarik kembali sokongan kaum-kaum bukan Melayu kepada BN, sedangkan dalam masa yang sama mereka menyertai dan menyokong Perkasa yang menghina kaum-kaum lain atas nama Melayu.

Sebelum ini, katanya kerajaan BN dan Umno berpakat mengharamkan pertubuhan Su Qiu dan Hindraf yang dikatakan pelampau Cina dan India yang menyemarakkan semangat perkauman.

“Tetapi bila Perkasa wujud, mereka membelanya atas nama kebebasan bersuara. Di sini memperlihatkan ketidakadilan Umno dalam memberikan hak kepada semua kaum bagi menubuhkan pertubuhan,” ujarnya.

Malah, katanya Perkasa mendapat keistimewaan khas untuk menerbitkan akhbar mereka sendiri, sedangkan media parti politik seperti Harakah dan Suara Keadilan menunggu bertahun-tahun untuk dapatkan permit.

Tambahnya, walaupun PAS tidak menafikan hak Perkasa untuk berpersatuan atau mewujudkan organisasinya, tetapi pihak kerajaan perlu adil dan Umno seharusnya menyatakan pendirian sebenar mereka dalam gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata, pengakuan ketua pemuda Umno sebelum ini bahawa memang ada ahli Umno menyertai Perkasa membuktikan bahawa Umno sendiri merupakan parti perkauman yang ekstrim dan melampau.

Katanya, kehadiran Mukhriz dan Awang Adek dalam mesyuarat Agung Tahunan Perkasa baru-baru ini menunjukkan pemimpin Umno memang tidak ikhlas dalam gagasan 1Malaysia dan menyokong Perkasa untuk menyemarakkan kebencian kepada kaum-kaum lain.

sumber: harakahdaily

10 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sekiranya Anda Ditahan Polis


1. BAGAIMANA MENDEFINASIKAN ISTILAH ‘DITAHAN’? HANYA APABILA …


a. Polis berkata kepada anda, “Anda ditahan”
b. Polis menggari tangan anda
c. Anda dilarang dari meninggalkan sesebuah bilik, kawasan atau sebagainya oleh pihak polis


2. BAGAIMANA SEKIRANYA ANDA DITAHAN OLEH PIHAK POLIS (semasa berjalan, memandu pulang dsb.)


a. Anda mungkin akan disoal. HANYA berikan butir-butiran diri anda seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat. Anda juga mungkin akan diminta menunjukkan kad pengenalan diri anda
b. Anda tidak perlu menjawap lain-lain soalan
c. Biasakan bertanya pengenalan diri polis yang berkenaan. Sentiasa catatkan nama dan nombor kad pengenalan mereka.
d. Catatkan nombor kenderaan ronda mereka


3. JIKA ANDA DITANYA LAIN-LAIN SOALAN


a. Tanya kepada polis berkenaan, “Adakah saya ditahan?”
b. Sekiranya mereka berkata “Ya”, jangan menjawap apa-apa lagi soalan yang diajukan kepada anda. Adalah menjadi hak anda untuk menjawap apabila berada di mahkamah sahaja.
c. Sekiranya mereka berkata “Tidak”, anda boleh beredar pada bila-bila masa sahaja.

4. JIKA ANDA DITAHAN


a. Beritahu orang-orang yang berhampiran dengan anda
b. Sekiranya anda mempunyai telefon bimbit, telefon rakan, keluarga atau peguam anda. Sekiranya anda ditahan di kawasan diantara Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Dataran Merdeka, besar kemungkinan anda akan dibawa ke balai polis Dang Wangi (Stadium) dan balai polis Campbell. Minta kawan anda, keluarga atau peguam anda pergi ke balai polis Dang Wangi dahulu untuk mengesahkan penangkapan anda dan dimana anda berada.
c. Catatkan / ingatkan waktu anda ditahan


5. KETIKA DITAHAN, PIHAK POLIS MESTI MEMBERITAHU ANDA

a. Mengapa anda ditahan


6. SELEPAS DITAHAN


a. Pihak polis hanya boleh menahan anda didalam lokap selama 24 jam sahaja, tidak kira samada pada hari cuti am atau pada hujung minggu. Ini adalah hak PERLEMBAGAAN anda. Selepas tempoh masa 24 jam berakhir, pihak polis mesti membawa anda ke hadapan majistret untuk direman (dimana anda mesti tinggal di lokap polis bagi ‘membantu’ siasatan mereka). Jika tidak, anda akan dilepaskan samada atas jaminan (jamin mulut) atau akan didakwa di mahkamah. Sebaik sahaja didakwa, anda perlukan penjamin dan wang jaminan kecuali ianya bukan dakwaan yang berjamin
b. Anda tidak boleh membawa sebarangan barang-barang ke lokap kecuali pakaian yang sedang anda pakai ketika itu. Apabila pihak polis mengambil barang-barang anda, anda mesti menurunkan tandatangan untuknya. Sekiranya anda mempunyai wang atau kad bank / kredit, pastikan anda mengira duit anda dan pastikan polis tersebut mencatatkan jumlah yang anda ada, dan apa kad bank / kredit yang anda miliki.
c. Anda mungkin diminta memberi kenyataan 113 (kenyataan peringatan). Pegawai polis yang mengambil kenyataan tersebut mestilah membacakan hak-hak anda


7. SOAL SIASAT POLIS


a. Berhati-hatilah semasa menjawap soalan-soalan yang diajukan oleh pihak polis. Ia mungkin dalam bentuk soalan-soalan mesra yang biasa seperti cuaca, keluarga anda dsb. untuk menenangkan anda. fikir berulang kali sebelum menjawap kerana ia boleh digunakan untuk menentang anda semasa dimahkamah nanti. Ingat, kerja polis ialah memastikan mereka mempunyai cukup bukti untuk mendakwa anda, dan bukannya untuk mempunyai perbualan yang mesra.
b. Sekiranya pihak polis meminta anda memberikan kenyataan 113, anda mesti memberikan butir-butiran anda seperti nama anda, nombor kad pengenalan dsb. dan pastikan anda tahu nama pegawai polis tersebut. Jika terdapat lain-lain soalan, kami BETUL-BETUL nasihatkan anda supaya tidak menjawapnya sehingga hari perbicaraan anda dimahkamah, dan ketika bersama-sama dengan peguam anda. Itu adalah hak anda! Apa sahaja yang anda kata, boleh digunakan untuk menentang anda ataupun rakan-rakan anda. Anda boleh menjawap semua soalan-soalan lain tersebut seperti ini:


S: adakah anda berada di Dataran petang tadi?
J: saya hanya akan menjawap semua soalan di mahkamah
S: bagaimana anda datang ke Dataran petang tadi?
J: saya hanya akan menjawap semua soalan di mahkamah
S: adakah ibu anda menyediakan bekalan sebelum anda keluar?
J: saya hanya akan menjawap semua soalan di mahkamah


c. Sekiranya pegawai polis yang mengambil kenyataan anda mengancam anda secara percakapan mahupun kelakuan, anda mestilah berhenti dari memberikan kenyataan anda dengan segera. Bertenang dan beritahunya “Saya tidak boleh meneruskan kenyataan saya kerana awak telah mengancam keselamatan saya. Saya mahu ini dicatatkan kedalam kenyataan saya.” Sekiranya pegawai polis itu tidak mencatatkan bantahan anda tersebut, tunggu sehingga ke akhir kenyataan anda. Tetapi sekiranya pegawai polis tersebut masih terus mengancam anda, tinggalkan bilik tersebut dan beritahu pegawai polis yang lain dan minta ‘perlindungan’ mereka.
d. Apabila anda telah habis menjawap soalan, pegawai polis akan membenarkan anda membaca kenyataan anda tersebut. Dia akan bertanya samada anda mempunyai apa-apa yang ingin ditambah, ditukar atau dipadamkan. Inilah masanya anda membetulkan apa-apa kesilapan atau atau menambah lain-lain komen didalam kenyataan itu. Contohnya, jika anda telah diancam sewaktu soal siasat atau diserang semasa penahanan anda dsb. ini adalah satu lagi peluang untuk anda menyatakannya. Pegawai polis berkenaan mesti menaip semua itu. Anda akan diminta untuk menandatangani kenyataan anda tersebut. Baca semula dengan teliti dan tandatangan sedekat yang boleh dibawah perenggan yang terakhir, supaya tiada siapa yang boleh menokoktambahnya lagi.


8. SEKIRANYA ANDA DIBAWA KE DEPAN MAJISTRET (Untuk Direman)


a. Sekiranya anda tidak mempunyai peguam, anda mesti meminta wakil peguam. Pusat Bantuan Guaman ada menempatkan peguam-peguamnya dimahkamah bagi tujuan ini.
b. Beritahu majistret sekiranya anda ada mempunyai apa-apa rungutan seperti sekiranya anda di pukul, diancam; sekiranya anda sakit, perlukan rawatan perubatan dsb.


9. SEKIRANYA ANDA DIBAWA KE DEPAN MAJISTRET (Untuk Dakwaan)


a. Sekali lagi, anda mesti meminta wakil peguam
b. Pastikan anda mempunyai seseorang untuk menjamin anda keluar. Sekiranya anda tidak dapat menghubungi keluarga atau rakan anda, minta kebenaran dari majistret untuk membantu anda menghubungi keluarga anda. Jika tidak, anda boleh meminta bantuan peguam anda. Keluarga anda akan perlu membawa duit untuk menjamin anda keluar, yang mana mestilah dalam bentuk pembukaan akaun di bank yang terletak paling dekat dengan mahkamah tersebut. Tanya peguam anda atau majistret dimanakah letaknya bank tersebut. Tidak ada bentuk bayaran lain seperti bayaran tunai atau cek yang akan diterima oleh mahkamah.


10. SEKIRANYA ANDA DIPUKUL SEMASA DALAM TAHANAN
a. Selepas anda dibebaskan atas jaminan, pastikan anda pergi ke mana-mana klinik kerajaan atau hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Pastikan anda tahu nama doktor yang bertugas dan nombor rujukan laporan kesihatan anda supaya ia boleh digunakan dimahkamah kemudian.
b. Sekiranya anda masih dalam reman, pastikan anda memberitahu majistret yang berkenaan bahawa anda perlu pergi ke hospital atau ke klinik.

Oleh: SUARAM

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails