Tuesday, March 16, 2010

Ancaman darah di Bangkok



KUMPULAN Baju Merah berjalan di luar sebuah berek tentera di Bangkok semalam.


BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva yang disokong tentera, menolak kata dua supaya Parlimen dibubarkan semalam setelah puluhan ribu penunjuk perasaan berbaju merah berikrar akan terus menggulingkan kerajaan.

"Kami semua (kerajaan) sepakat menolak permintaan supaya Parlimen dibubarkan sebelum tengah hari ini (semalam)," kata Abhisit dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen.

"Bagaimanapun, ia tidak bermakna kerajaan campuran dan saya tidak akan mendengar idea mereka," tambahnya.

Kecewa dengan keengganan kerajaan berbuat demikian, Kumpulan Baju Merah kemudian menetapkan satu lagi tarikh akhir untuk kerajaan membubarkan Parlimen.

Mereka turut mengancam akan menumpahkan satu juta sentimeter padu darah anggota kumpulan itu di kawasan Rumah Kerajaan yang menempatkan pejabat menteri jika tuntutan tersebut gagal dipenuhi menjelang pukul 6 petang, waktu tempatan hari ini.

Sekiranya, bilangan penunjuk perasaan kekal pada saiz terbesar sebelum ini iaitu 100,000 orang, setiap orang perlu menderma dua sudu teh darah bagi mencapai matlamat itu.

"Darah itu akan diambil daripada tubuh setiap anggota kumpulan Baju Merah," kata seorang ketuanya, Nutthawut Saikua.

Beliau berkata, mereka akan mula merekrut petugas-petugas perubatan pagi ini.

Kumpulan Baju Merah percaya Abhisit berkuasa secara tidak sah dengan mendapat kerjasama tentera dan elit pemerintah yang bimbang mengenai populariti mendadak bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra terutamanya di kalangan penduduk miskin di negara itu.

Thaksin yang menjadi perdana menteri pada 2001 sebelum digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2006, kini tinggal di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bagi mengelak hukuman penjara kerana kesalahan rasuah.

Kumpulan Baju Merah itu menuntut supaya kerajaan sekarang dibubarkan bagi membolehkan satu pilihan raya baru yang telus dan adil diadakan.

Sementara itu, jurucakap tentera, Kolonel Sansern Kaewkamnerd berkata, dua askar cedera apabila empat butir bom tangan meletup di halaman berek Rejimen Infantri Pertama di sini yang ditugaskan untuk mengawal keluarga diraja Thai sekali gus merupakan keganasan pertama sepanjang bantahan kali ini.

Beliau tidak menyalahkan kumpulan Baju Merah berhubung serangan tersebut tetapi memberitahu, hasil risikan mendapati ia dirancang beberapa anasir jahat.

Semua bom tangan ditembak dari pelancar M-79, katanya. - AP


sumber: KOSMO

komen: siap ada bom lagi puak ni

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails