Saturday, April 3, 2010

3 kanak-kanak cedera serangan jet Zionis



GAZA CITY 2 April - Tiga kanak-kanak Palestin cedera terkena serpihan kaca apabila jet-jet pejuang F16 Israel melancarkan enam serangan ke atas Genting Gaza malam tadi.

Kanak-kanak yang berusia dua, empat dan 11 tahun itu terkena serpihan kaca berterbangan dalam serangan ke atas kedudukan di daerah Sabra, barat bandar ini, kata ketua perkhidmatan kecemasan Palestin di Gaza, Moawiya Hassanein hari ini.

Serangan udara itu menyusuli beberapa serangan roket pejuang Palestin dari Gaza ke selatan Israel, termasuk sebuah roket yang mendarat di pekan Ashkelon malam tadi, menyebabkan kerosakan kecil tetapi tiada kemalangan jiwa, lapor tentera Israel.

Israel hari ini mengancam untuk melancarkan operasi tentera besar-besaran ke atas Genting Gaza jika pejuang Palestin tidak menghentikan serangan roket.

Tiga serangan udara Israel malam tadi ditujukan terhadap sebuah kawasan ke barat Khan Younis, selatan Gaza. Dua daripadanya mengenai pos pengawal sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine Al-Qassam.

Serangan keempat memusnahkan sebuah bengkel di kem pelarian Nusseirat, tengah Gaza.

Dalam dua serangan lain, jet pejuang Israel membedil kedudukan di barat Gaza City, memusnahkan sebuah kilang tenusu di daerah Sabra, kata saksi.

Tentera Israel melancarkan serangan udara ke atas Genting Gaza sejak beberapa minggu lalu, bagi membalas serangan roket ke Israel oleh pejuang Palestin yang berpangkalan di Gaza.

Pejuang Palestin melancarkan lebih 40 roket atau mortar ke Israel sejak awal tahun ini, hampir 20 daripadanya pada bulan lepas, menurut angka tentera Israel.

Baru-baru ini, askar Israel turut bertempur dengan pejuang Palestin di kawasan sempadan.

Seorang remaja Palestin terbunuh pada Selasa lalu dan beberapa lagi cedera apabila askar Israel melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan dekat sempadan Gaza.

Insiden itu berlaku ketika penduduk Arab Israel dan Palestin memperingati 'Hari Tanah', peristiwa enam penduduk Arab dibunuh oleh pasukan keselamatan Israel semasa protes membantah rampasan tanah pada 1976. - AFP

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails