Monday, April 5, 2010

Polis Indonesia di KL siasat 3 pekerja mati ditembak


JAKARTA, 5 April - Pasukan polis Indonesia kini berada di Kuala Lumpur untuk menyiasat kes tiga pekerja negara itu yang didakwa ditembak mati oleh polis Malaysia bulan lalu.

Gazali, seorang pekerja Indonesia di Kuala Lumpur berkata, polis telah mula menyoal siasat dia dan beberapa pekerja lain di Damansara, selain memeriksa mayat ketiga-tiga pekerja berkenaan di Hospital Sg Buloh.

“Kami disoal siasat dan mereka melawat rumah kami di Damansara,” kata Gazali dipetik Jakarta Globe semalam.

Dai Bachtiar, Duta Indonesia ke Malaysia berkata beliau sudah menerima laporan tiga pekerja negara itu ditembak mati oleh polis Selangor.

Media Malaysia yang memetik Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata, ketiga-tiga mereka ditembak pada 16 Mac lalu atas alasan mengancam keselamatan anggota polis dengan bersenjata.

Menurut pihak berkuasa Malaysia, ketiga-tiga mereka merupakan anggota sindiket yang menyamun 19 rumah di seluruh negara termasuk rumah milik Senator Datuk Syed Al Habshee.

Khalid berkata tiga pekerja Indonesia berkenaan yang dikenali sebagai Musdi, Abd Sanu dan Muhlis memandu sebuah kereta sedan dan merempuh kereta peronda polis.

Katanya, mereka telah cuba untuk melepaskan diri tetapi terlanggar sebuah pokok di Bandar Tasik Puteri, Kuala Selangor.

Khalid juga berkata, pekerja-pekerja itu keluar dari kereta dengan senjata dan pisau lalu menyerang anggota polis.

“Anggota polis melepaskan enam tembakan untuk mempertahankan diri mereka,” kata Khalid.

“Ketiga-tiga pekerja mati di tempat kejadian,” katanya.

Bagaimanapun menurut Gazali, sekumpulan anggota polis datang ke pangsapuri di mana pekerja Indonesia tinggal dengan berkata, mereka sedang mencari beberapa orang yang terlibat kerja-kerja menyamun.

Gazali berkata, mereka tidak menemui sesiapa tetapi dua hari kemudian mereka terdengar tiga rakan mereka telah terbunuh.

“Mereka orang yang baik,” katanya sambil menambah, mereka tidak boleh memandu kereta sebab “mereka hanya merupakan pekerja binaan.”

Gazali dan dua rakannya telah memfailkan aduan di Kedutaan Indonesia, Kuala Lumpur.

Layanan terhadap pekerja-pekerja asing telah menjadi fokus utama yang turut mencetuskan ketegangan antara Malaysia dan Indonesia sejak kebelakangan ini.

sumber: malaysiainsider

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails