BANGKOK - Lebih 50,000 penunjuk perasaan antikerajaan Thailand semalam tidak mengendahkan arahan supaya meninggalkan satu kawasan perniagaan utama di bandar raya Bangkok walaupun mereka diugut akan ditangkap oleh pihak berkuasa.
Tindakan mereka itu dianggap telah melumpuhkan aktiviti perniagaan banyak pasar raya mewah dan hotel lima bintang di tengah-tengah Bangkok untuk dua malam berturut-turut.
Jurucakap tentera, Kolonel Sansern Kawekamnerd menyatakan, pihak berkuasa akan mengambil tindakan lebih tegas, tanpa mengulas lanjut.
Penunjuk-penunjuk perasaan itu boleh dikenakan hukuman setahun penjara dan denda kerana melangggar dekri darurat serta mengganggu laluan trafik termasuk perniagaan.
Kumpulan antikerajaan yang memakai baju merah itu sudah berkampung di Bangkok selama lebih tiga minggu lalu.
Tunjuk perasaan itu akan diteruskan sehingga Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya baru.
Dalam satu siaran televisyen pagi semalam, Abhisit merayu penunjuk perasaan itu yang merupakan penyokong bekas perdana menteri Thailand yang digulingkan pada 2006, Thaksin Shinawatra supaya kembali ke kawasan mereka berkhemah dan tidak berhimpun di lokasi pusat perniagaan.
Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan dan para pemimpin penunjuk perasaan sudah hampir mencapai kata sepakat.
Namun di lokasi protes, mereka yang memakai baju merah dilihat mengoyak risalah dan tidak menunjukkan tanda akan beredar.
Bangunan-bangunan pejabat dan banyak pusat beli-belah yang biasanya dipenuhi pengunjung telah ditutup atas alasan keselamatan.
Dewan Perniagaan Thailand menyatakan kerugian ekonomi boleh mencecah AS$15 juta (RM48.7 juta) sehari. - Agensi
No comments:
Post a Comment