KUALA LUMPUR, 13 Jan: Menjelang Pilihan Raya Kampus (PRK) sesi 09/10 yang dijangka penghujung Januari ini, kumpulan Pro-Mahasiswa kini mula serius menggerakkan jentera mereka dalam usaha memenangi kerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) di kampus masing-masing.
Semalam kumpulan yang terdiri dari beberapa front mahasiswa itu melancarkan misi 'Mahasiswa Tawan Kampus' (MiSi-10) dalam satu majlis di Kompleks Perdana Siswa Gazebo Universiti Malaya.
MiSi-10 terdiri daripada gabungan beberapa front yang di ketuai oleh PRO-Mahasiswa bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia(SMM) , Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS), Malaysia Youth and Student Democratic Movement (DEMA), Kesatuan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) , Skrikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) dan Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting (BANTAH).
Mereka juga turut disokong olek kumpulan Pro-Mahasiswa di 10 kampus utama seluruh negara.
Dalam satu kenyataan bersama mereka memberitahu, Pelancaran MiSi-10 sebagai isyarat awal mereka menuntut ruang pemilihan yang adil.
"Ini isyarat awal menunjukan bahawa keseriusan kami di peringkat mahasiswa untuk memastikan pilihan raya kampus yang akan berlansung dilaksanakan dalam satu ruang padang yang adil demi melahirkan kepimpinan mahasiswa yang berkualiti bagi membela nasib mahasiswa yang lain khasnya dan nasib rakyat Malaysia umumnya," kenyataan mereka dipetik.
Mereka juga turut mengemukakan beberapa tuntutan kepada pihak universiti melihat kepada beberapa kronologi kes yang berlaku sepanjang tahun 2009 yang didakwa mereka sebagai kongkongan terhadap demokrasi kampus.
Kes yang dijadikan rujukan termasuklah prosiding lapan mahasiswa UM yang disabitkan di bawah AUKU kerana menjemput ahli politik merasmikan program mahasiswa serta kes pendakwaan terhadap lima mahasiswa dalam kes conteng 'bini puaka' di dinding Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam APIUM.
Selain itu isu halangan penganjuran Forum E-Undi dan tuduhan mahasiswa UKM sebagai Pro-Israel juga ujar mereka suatu yang menghalang mahasiswa beridealisme.
"MiSi-10 melihat bahawa isu-isu yang berlaku telah mencalarkan imej dan fungsi sebuah universiti yang seharusnya disuburkan dengan budaya dan suasana demokrasi yang memberikan keselesaan kepada mahasiswa untuk beridealisme dan melaksanakan aktiviti kemahasiswaan mereka sendiri," kata mereka lagi.
Sehubungan itu mereka menuntut pihak universiti bertindak telus dan adil pada PRK akan datang dengan membenarkan kehadiran pemantau bebas dari luar.
Ianya juga termasuk menghapuskan sistem pengundian elektronik (e-undi) pada PRK kali ini dan akan datang.
Selain itu mereka turut menggesa agar pihak universiti mengembalikan autonomi kampus khususnya hak mahasiswa untuk berhimpun, bersuara, berpersatuan dan kebebasan akademik.
Pihak universiti juga gesa mereka perlu menjaga keselamatan calon dan mahasiswa daripada ancaman pihak-pihak tertentu semasa proses pilihanraya berlangsung.
harakah daily
No comments:
Post a Comment