Sunday, April 11, 2010

Pindaan Auku dibentang di Parlimen minggu depan


Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) berkaitan soal disiplin di kolej-kolej matrikulasi, intitusi-institusi pengajian tinggi awam termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan dibentangkan di Parlimen minggu depan. Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata antara lain di bawah pindaan tersebut para pelajar yang dikenakan tindakan disiplin termasuk disingkir dari kolej dan universiti akan diberi peluang merayu sebelum tindakan muktamad ke atas mereka diputuskan.

Mengikut peraturan sedia ada mereka yang dibuang kerana melanggar disiplin tidak dibenar membuat rayuan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Sains Muar, di Ledang hari ini. Beliau berkata kementeriannya telah diarah mengendalikan usaha menambahbaik dan mengemaskini peraturan tersebut yang turut dikuatkuasa ke atas UiTM dan Universiti Teknologi Malaysia yang diletak di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Kecuali aspek disiplin, Auku tidak terpakai ke atas UiTM yang ditubuhkan menerusi Akta Universiti Teknologi Mara 1976.

Mengenai tindakan segelintir pelajar sekolah menengah yang didapati merokok di tempat awam, Dr Puad berkata kementeriannya memandang berat kes-kes seumpama itu namun tindakan hanya berkesan jika mendapat kerjasama agensi dan pihak lain yang berkenaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails