GAZA CITY 8 Jan. - Pergerakan Hamas yang memerintah Genting Gaza kini dilihat semakin tersepit ekoran kejayaan Israel menjalankan ujian sistem pertahanan roket Iron Dome dan usaha Mesir untuk menyekat terowong penyeludupan.
Sistem pertahanan roket Kubah Besi yang dilaporkan akan ditempatkan dekat Gaza pada Mei ini, akan menghakis kelebihan utama Hamas dalam menentang Israel iaitu ancaman tembakan roket dari wilayah Palestin itu.
Tembok keluli bawah tanah yang sedang dibina oleh Mesir bagi menyekat terowong di antara Gaza dan wilayah Mesir akhirnya akan memutuskan bekalan wang tunai dan senjata kepada Hamas, selain bekalan keperluan untuk penduduk Gaza.
Tekanan dari dua pihak itu dijangka membataskan pilihan yang boleh diambil oleh Hamas di samping membawa kepada perubahan dalam peraturan pertempuran di sempadan Gaza yang dikenakan sekatan dan mudah bergolak.
Namun pergerakan pejuang Palestin itu terus bertapak kukuh di wilayah yang mereka tawan daripada pesaing mereka, Parti Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada 2007.
Hamas sudah pun bertindak balas terhadap pembinaan tembok keluli itu dengan cuba memarakkan bantahan umum terhadap Mesir.
Pakar juga memberi amaran, Hamas mungkin cuba melancarkan semula serangan pengebom berani mati di Israel jika tembakan roketnya dipintas oleh sistem pertahanan rejim Zionis itu.
"Hamas boleh menyesuaikan diri dengan sebarang situasi baru," kata seorang pegawai Hamas, Ahmed Yousef tanpa memberi penjelasan lanjut.
Beliau mendakwa lebih banyak tekanan ke atas pergerakan itu hanya akan menjadikannya lebih popular.
Seorang pegawai keselamatan Hamas di Gaza City pula berkata, menembak jatuh setiap roket akan melibatkan kos yang sangat tinggi.
Pandangan pegawai itu disokong oleh pakar pertahanan peluru berpandu di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Ted Postol.
Postol meragui kemampuan sistem pertahanan Israel itu untuk menyekat tembakan roket yang bertalu-talu, dan menyifatkan kosnya yang tinggi sebagai satu masalah.
Sebuah roket buatan sendiri boleh dibina dengan kos kurang daripada AS$200 (RM680) tetapi menembak jatuh sebuah roket sedemikian akan melibatkan kos sekitar AS$100,000 (RM340,000), kata beliau. - AP
Utusan Hidup Melayu
No comments:
Post a Comment