Salam Pencerahan!
Artis-artis tempatan dari dulu sampai sekarang masih tidak dapat menerima budaya cetak rompak.
Bagi mereka, cetak rompak merugikan!
Mereka buat album untuk mencipta populariti.
Semakin banyak album dijual, maknanya makin popular seseorang artis.
Semakin popular seorang artis, bermakna artis itu boleh terus hidup dan mencipta keuntungan dalam dunia selebriti.
Tidak perlu tengok sejauh Hollywood, cukup kita lihat dunia selebriti di Indonesia.
Dunia muzikal ‘Seberang’ ternyata lebih maju berbanding dunia muzikal tanahair.
Waktu fenomena cetak rompak mengamuk di Malaysia, suatu rancangan pop terbitan TV3 bernama Melodi menyelami cabaran artis tempatan dan ‘Seberang’.
Saya masih ingat, beberapa artis tempatan seperti Hatta, Misha Omar, Zamani dan Rabbani mengeluh disebabkan fenomena cetak rompak ini.
Bila ditanya pada Kriss Dayanti, Sheila On7, Dewa, Rossa, Melly Goslow dan beberapa penyanyi dari ‘Seberang’ yang lain; mereka suka album mereka dicetak rompak.
Menurut mereka, dengan cetak rompak album, menyebabkan mereka lebih cepat popular.
Ditambah dengan pembangunan teknologi yang pesat, kalau tidak komposer sendiri ’songlap’, pasti mereka yang ada upaya kemahiran atau prasarana akan melakukan juga budaya cetak rompak tersebut.
Lebih baik membiarkan budaya cetak rompak. Dengan album cetak rompak tersebut, akhirnya menyebabkan mereka digilai oleh rakyat di Malaysia.
Walaupun tidak berpeluang mendapat penajaan tempatan untuk membuat konsert di sini pada peringkat awalnya, disebabkan album cetak rompak yang semberono mengakibatkan ada rakyat Malaysia pula menaja mereka membuat persembahan di sini akhirnya.
Akhirnya, mereka mendapat populariti yang menjadi ‘darah’ kepada artis dan mereka juga mendapat laba kekayaan yang menjadi ‘makanan’ bagi seorang artis.
Selain fenomena selebriti ‘Seberang’, sampai hari ini saya begitu hairan melihat dunia selebriti Hollywood.
Seseorang penyanyi lelaki yang ‘jongang-mangang’ atau seorang penyanyi perempuan yang perutnya berleper-leper ‘huduh’ tidak kisah pun apabila Shah Rukh Khan atau Hatrick Roshan atau Salman Khan atau Amir Khan atau Ashwarya Rai atau Kajol atau Misha Pattel memperagakan nyanyian lagu-lagu merdu mereka dalam filem-filem Bollywood.
Kita pun tahu bahawa apa yang dilenggokkan oleh Shah Rukh Khan itu bukan nyanyiannya yang sebenar.
Penyanyi itu boleh jadi ‘jongangk-mangang’ atau perut beleper-leper ‘huduh’. Tetapi, kita tetap menyanjungi lagu-lagu atau filem-filem Hindustan.
Sampai hari ini, saya begitu menggilai Shah Rukh Khan atau Kajol melalui filem Kuch Kuch Hota Hai, berbanding KL Menjerit lakonan Rosyam Nor dan Lisdawati.
Inilah dunia selebriti, iaitu kita semua boleh menerima bahawa realiti hiburan adalah sebegitu. Yang popular akan terus popular. Yang popular sudah tentu boleh mencipta keuntungan.
Sama ada disebabkan nyanyian yang membunuh atau lakonan yang memukau, album kebanyakan artis dari ‘Seberang’ dan Hollywood sudah menembusi pasaran hiburan kita, Eropah dan dunia-dunia yang lain.
Aizat yang gemuk itu (sekarang dah kurus) akan lebih bertuah jika hidup di ‘Seberang’ atau Hollywood. Dia tidak akan ditendang keluar dari AF5, walaupun mempunyai sah dianugerahi suara yang membunuh.
Sebab itu, saya tidak yakin yang artis-artis serta penggiat seni tanah air kita boleh pergi sejauh budaya ‘populariti-keuntungan’ seperti di ‘Seberang’ atau di Hollywood.
Samalah juga dalam isu menggunakan nama ‘Allah’ di kalangan orang bukan Islam kebelakangan ini.
Sepatutnya, kita selaku pendakwah perlu membiarkan semua pihak menggunakan nama Allah sebagaimana budaya artis-artis di Indonesia @ ‘Seberang’; di Hollywood.
Dengan membiarkan mereka yang bukan Islam menyebut-nyebut nama Allah, akan menggamit mereka mengenali Islam.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa mungkin akan berlaku penyalahgunaan nama ‘Allah’, tetapi impaknya tidaklah sebesar skala mereka yang mula berkenal-kenalan dengan Allah secara benar menurut Islam.
Memang lanun cetak rompak boleh mengaut keuntungan dari hasil jual CD atau DVD haram, tetapi dengan aktiviti mereka, secara automatik membantu mempopularkan artis-artis terbabit sendiiri.
Dengan membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’, mengakibatkan Allah yang biasa disebut-sebut di dalam masjid, akan mula disebut di dalam gereja-gereja Katholik pula.
Ianya juga boleh mendorong para pendakwah profesional Islam berdialog atau berwacana pula dengan para paderi atau penganut agama Kristian; sebagaimana orang Malaysia mula mengenai Kris Dayanti atau Dewa melalui CD atau DVD haram mereka yang dijual di Malaysia.
Melihat realiti dunia selebriti yang mengejar populariti-keuntungan, mengajar saya untuk tidak menghalang gereja Katholik dari menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam akhbar mingguan, The Herald.
Nama ‘Allah’ bukan untuk dipertahankan, tetapi untuk disebarkan!
Baru saya faham dan melihat hikmah serta maqosid di sebalik ayat 45 dari Surah al-Anfal.
“Sebutlah nama Allah banyak-banyak, mudah-mudahan kamu berjaya…”
KEFAHAMAN MENGASAK PERUBAHAN
Zainulfaqar Yaakob
Masjid Sri Petaling
No comments:
Post a Comment