Sunday, January 3, 2010

Iran beri amaran Barat terima syor balas isu nuklear




Tempoh sebulan diberi Teheran bukti sikap keras kepala

TEHERAN: Iran semalam memberi amaran bahawa Barat hanya mempunyai masa hingga akhir bulan ini untuk menerima cadangan balas Teheran kepada pelan dirangka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau ia akan mengeluarkan bahan api nuklearnya sendiri.

"Kami sudah memberi mereka pilihan. Hanya ada tempoh sebulan iaitu hingga hujung Januari ini," kata Menteri Luar, Manouchehr Mottaki yang bercakap menerusi stesen televisyen tempatan.
Beliau berkata Barat mesti membuat keputusan mengenai bekalan untuk reaktor Iran, iaitu satu daripada dua tawaran yang dikemukakan sama ada beli atau tukar.

"Jika tiada persetujuan dicapai Republik Islam Iran akan mengeluarkan 20 peratus bahan api yang diperkayakan dengan keupayaan yang dimilikinya," katanya.

Penganalisis menyifatkan amaran ini sebagai sikap keras Teheran dalam pendiriannya mengenai program nuklear yang dibimbangi Barat bertujuan menghasilkan senjata nuklear.
Bagaimanapun jika Iran memulakan pengeluaran bahan api serta-merta, negara itu dijangka memerlukan beberapa tahun lagi sebelum dapat menguasai teknologi menghasilkan uranium yang boleh diperkayakan hingga ke tahap 20 peratus.

Iran menolak tarikh akhir penghujung 2009 yang dikenakan pentadbiran Obama dan Barat untuk menerima perjanjian dirangka PBB bagi menukar kebanyakan uranium yang diperkayakan untuk bahan api nuklear.

Perjanjian itu jika dipersetujui akan mengurangkan simpanan uranium, sekali gus mengehadkan keupayaan Iran bagi menghasilkan senjata nuklear.

Amerika dan sekutunya sebelum ini menuntut Iran menerima terma di dalam pelan tajaan PBB tanpa perubahan.
Teheran sebaliknya memberi cadangan balas kepada Barat iaitu sama ada Barat menjual bahan api nuklear ke Iran, atau menukarnya dengan bahan api nuklear untuk program pengkayaan uranium yang lebih kecil.

Berita Harian



No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails