Thursday, April 1, 2010

Israel tembak mati remaja Palestin


GAZA CITY 31 Mac - Seorang remaja Palestin maut, sementara beberapa yang lain cedera semalam selepas askar Israel melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan berhampiran sempadan Gaza, semasa golongan Arab Israel dan Palestin menyambut 'Hari Negara' bagi memperingati peristiwa berdarah pada 1976.

Keganasan di sempadan Gaza yang sedia tegang itu berlaku ketika majlis-majlis diadakan di seluruh Israel dan kawasan yang diduduki bagi memperingati pembunuhan enam penduduk Arab semasa satu bantahan pada 1976 berhubung rampasan tanah.

Mangsa, Mohammed al-Faramawi, 15, ditembak mati di timur bandar Rafah berhampiran sempadan yang dikawal ketat sebelum beratus-ratus penunjuk perasaan berarak ke lokasi kejadian.

Pasukan perubatan Gaza dan saksi berkata, mangsa dibunuh oleh tentera Israel, satu dakwaan yang disangkal ketenteraan Israel yang menyatakan pihaknya hanya melepaskan tembakan amaran bagi menakut-nakutkan penunjuk perasaan yang mendekati sempadan tanpa mengenai sesiapa.

"Berdasarkan penelitian ke atas Divisyen Gaza, kami tidak mendapat laporan tentang apa-apa insiden mengenai kematian penduduk Palestin akibat ditembak tentera kami," kata seorang jurucakap tentera rejim itu.

Dalam satu insiden serupa di timur bandar Khan Younis, beratus-ratus penunjuk perasaan berarak ke sempadan dan melempar batu ke arah tentera Israel, yang bertindak balas dengan melepaskan tembakan.

Tunjuk perasaan itu berlaku berhampiran lokasi pertempuran minggu lalu yang mengorbankan dua askar Israel dan dua penduduk Palestin, satu kejadian yang mengejutkan masyarakat di sepanjang sempadan tersebut sejak perang Gaza 2008-2009.

Ketua Perkhidmatan Kecemasan Gaza Muawiya Hassanein berkata, kanak-kanak merupakan antara 10 individu yang cedera dalam kejadian tersebut.

Seorang daripada mangsa, Raid Abu Namus, 9, berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital berhampiran.

Katanya, seorang lagi remaja Palestin berusia 14 tahun, turut cedera selepas ditembak dalam satu insiden serupa di kem pelarian Maghazi, tengah Gaza.

Sementara itu, di tengah-tengah ketegangan Gaza, sepasang kembar siam seberat 5 kilogram yang bercantum di bahagian dada, selamat dilahirkan di Hospital Nassir, Khan Younis, selatan Genting Gaza malam Sabtu lalu. - AFP

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails