Sunday, April 4, 2010

Kembar siam pertama Palestin pindah ke Saudi



GAMBAR fail tanpa tarikh menunjukkan pasangan kembar siam Retag (kiri) dan Rittal selepas dilahirkan di sebuah hospital di Gaza minggu lalu.


RIYADH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz semalam menitahkan sepasang kembar siam yang pertama dari Gaza di Palestin, dipindahkan ke sebuah hospital di sini bagi membolehkan pembedahan pemisahan dapat dilaksanakan.

Dua bayi perempuan yang dilahirkan seminggu lalu, Retag dan Rittal, bercantum di bahagian abdomen dan berjaya dimasukkan ke Bandar Raya Perubatan Raja Abdul Aziz di sini kelmarin untuk pemeriksaan oleh sepasukan doktor pakar.

Menurut akhbar Arab News dan Al-Riyadh, bayi tersebut dilahirkan di Khan Yunis di selatan Gaza yang kurang kemudahan perubatan modem ekoran tindakan sekatan tidak berperikemanusiaan pihak berkuasa rejim Israel sejak 2007.

Menteri Kesihatan Arab Saudi, Abdullah al-Rabeeah dipetik sebagai berkata, doktor-doktor di Hospital Mubarak di Gaza memohon bantuan kerana mereka tiada kepakaran dan ia merupakan kes kembar siam pertama direkodkan di Palestin.

Sekurang-kurangnya 20 pembedahan pemisahan kembar siam yang datang dari keluarga miskin serata dunia berjaya dilakukan di Arab Saudi sejak 18 tahun lalu dengan segala kos ditanggung sepenuhnya oleh kerabat diraja negara minyak itu.

Retag dan Rittal yang dilahirkan dengan berat empat kilogram menerusi pembedahan Caesarian ialah anak kepada pasangan Palestin, Yasser Abu Assi dan Mirvat Abu Assi. - Agensi

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails