Thursday, April 8, 2010

Dewan Rakyat: PTPTN Masih Ada RM6 Bilion, Mampu Tampung Keperluan Tahun Ini Dan Tahun Depan


KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mempunyai dana sebanyak RM6 bilion yang mampu menampung keperluan untuk tahun ini dan tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dana itu adalah peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang masih belum digunakan.

Sehingga kini PTPTN sudah membelanjakan RM32 bilion untuk pinjaman pelajar dan daripada jumlah itu hanya 52 peratus berjaya dikutip semula, katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.

Beliau berkata pada tahun lalu badan itu hanya dapat mengutip RM400 juta daripada RM1.07 bilion memandangkan ada peminjam memohon kelonggaran kerana belum bekerja selain ada yang meminta kadar bayaran balik dikurangkan.

"Jumlah (kutipan balik) ini berasaskan kepada perjanjian enam bulan selepas tamat tempoh pengajian," katanya menjawab soalan Dr Che Rosli Che Mat (PAS-Hulu Langat).

Menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Kassim (BN-Arau) yang ingin tahu sama ada badan itu membuat kajian sebelum meluluskan pinjaman kepada pelajar, Mohamed Khaled berkata kajian dibuat terhadap beberapa aspek termasuk kewajaran dan kelayakan pelajar berkenaan.

Bagaimanapun katanya PTPTN belum mencapai tahap terdesak untuk benar-benar melihat latar belakang pemohon sebelum menimbangkan kewajaran memberi pinjaman kepada seseorang pelajar.

"Mungkin PTPTN boleh menilai jika pendapatan keluarga lebih RM3,000 ataupun RM5,000 apakah kewajaran untuk mendapatkan pinjaman sara hidup.

"Mungkin PTPTN juga boleh tentukan pinjaman diberi berdasarkan kebolehpasaran pekerjaan dan (hanya) biayai pelajar di institusi pengajian yang kita percaya boleh kekalkan mutu pengajian mereka. Bagaimananpun ini tidak akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails