SEOUL - Pihak berkuasa Korea Selatan menanggung malu apabila menyangka sebuah kereta api barang Korea Utara didakwa membawa presiden negara komunis itu, Kim Jong-Il menyeberangi China semalam yang didapati tidak benar.
Terdahulu, satu sumber Seoul dipetik agensi berita rasmi Yonhap sebagai berkata, pemimpin Pyongyang itu dipercayai menaiki sebuah kereta api khas dan tiba di bandar sempadan Dandong di China untuk mengadakan lawatan ke negara itu.
Ia mencetuskan suasana panik dan spekulasi kononnya Korea Utara sedang mengadakan perbincangan peringkat tinggi dengan China tanpa pengetahuan Korea Selatan sebelum akhirnya mereka mendapati ia cuma sebuah kereta api kargo biasa.
Secara kebetulan, agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA melaporkan, Jong-Il ditemani oleh Menteri Pertahanan, Kim Yong-Chun pergi menghadiri satu persembahan muzik di China tanpa menyatakan bila dan di mana acara itu berlangsung.
"Setelah disiasat, kereta api itu tidak membawa Jong-Il dan kekeliruan timbul kerana gerabak dicat hitam walhal kereta api penumpang berwarna hijau," kata seorang pegawai pejabat konsul Korea Selatan di Shenyang, China. - Agensi
No comments:
Post a Comment