KOTA BARU, 22 Mac — Rakan Shamsudin Ajaib menyifatkan kontroversinya ekoran kes perkahwinannya dengan budak perempuan bawah umur termasuk menikahkan anak sendiri, yang juga di bawah umur, sebagai keputusan dia sendiri dan tiada kaitan dengan kumpulan jemaah tabligh.
“Itu adalah kesilapan dirinya sendiri, atas sifat manusia begitulah... kita tak boleh lari daripada membuat kesilapan,” kata Mokhtar Omar, veteran dalam jemaah tabligh itu semasa ditemui di sini.
Shamsudin mendakwa melakukan perbuatan itu mengikut sunah Nabi Muhammad SAW, di samping tindakan tersebut juga sekali gus menyebabkan kumpulan jemaah berkenaan dipandang negatif.
“Dalam tabligh tidak pernah ajar begitu, lebih-lebih lagi kahwin dengan budak perempuan yang belum masuk akil baligh.
“Memang kahwin itu sunah, tapi ia mesti sesuai dengan keadaan,” katanya.
Mokhtar yang tidak hairan ataupun pelik dengan penyiaran berita-berita mengenai Shamsudin turut mendedahkan tindakannya suka berkahwin bukan satu perkara baru bagi orang sudah lama mengenali dia.
“Semasa dia (Shamsudin) pergi ke Afrika untuk kerja dakwah di sana selama empat bulan dulu dia sempat kahwin dengan orang di sana, kemudian bila sampai masa hendak balik dia tinggal (cerai).
“Tapi dalam kes ini (perkahwinan bawah umur) sungguh memeranjatkan rakan-rakan jemaah, tak sangka sampai ke situ pula tindakan atau kelakuannya,” katanya.
Shamsudin Ajaib mencetuskan kontroversi ekoran pernikahannya dengan Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, pada 19 Feb lalu.
Sehari sebelum itu Shamsudin dikatakan telah menikahkan anaknya sendiri, Nur Hadhirah, 10, dengan rakannya yang dikenali sebagai Azhar.
Kedua-dua kes itu kini didengar Mahkamah Syariah di sini.
Shamsudin mendakwa perbuatan itu mengikut sunah Nabi Muhammad SAW.
Sementara itu seorang rakannya yang lain, Azhar Ismail mengkategorikan Shamsudin sebagai golongan orang yang ‘berpenyakit’ dan tidak boleh diambil kira dengan perbuatannya.
“Saya fikir tindakannya itu juga boleh jadi berlaku antara sedar dan tidak,” katanya sambil tidak menafikan kemampuan Shamsudin dalam membantu gerak kerja dakwah jemaah tersebut sebelum ini.
Ditanya Shamsudin melarikan diri setelah menyedari sedang diburu Azhar gagal memastikan destinasi terkini rakannya itu.
“Saya juga tak tahu di mana dia sekarang, sebab di markas pun sudah lama dia tak datang.
“Tapi pergerakannya saya tidak nafi, memang jauh.
“Baru-baru ini, sebelum meletusnya kes itu, dia ke England, Norway dan Sweeden. Bangkok, biasa...
“Seingat-ingat saya, sejak dulu-dulu lagi, memang tiap-tiap tahun boleh dikatakan dia ni ke luar negeri terutamanya untuk kerja dakwah,” katanya.
Bagaimanapun beliau enggan memungkinkan Shamsudin kini berada di luar negeri semata-mata untuk melindungkan diri daripada diburu.
sumber: malaysiainsider
No comments:
Post a Comment