Monday, March 22, 2010

Gunung berapi meletus dekat glasier di Iceland



GAMBAR menunjukkan lahar yang keluar dari Gunung Eyjafjallajokull di Iceland semalam.


REYKJAVIK, Iceland - Sebuah gunung berapi meletus dengan mengeluarkan lahar berhampiran kawasan glasier di selatan Iceland menyebabkan 450 penduduk dipindahkan semalam.

Tiada kecederaan atau kemusnahan dilaporkan di sekitar gunung berapi Eyjafjallajokull yang meletus itu namun darurat diisytiharkan kerana para saintis gusar ia mungkin boleh mengakibatkan letusan lebih kuat di gunung berapi Katla.

"Ia merupakan letusan kecil dan tidak berbahaya. Namun, kami bimbang letusan itu akan mencetuskan satu lagi letusan dari gunung berapi berhampiran iaitu Katla yang boleh memberi kesan terhadap penduduk setempat dan global," kata seorang ahli geofizik di Institut Sains Bumi, Universiti Iceland, Pall Einarsson.

Pihak berkuasa bimbang letusan yang berlaku 160 kilometer persegi dari glasier Eyjafjallajokull boleh mengakibatkan banjir jika ais di kawasan sekitarnya cair.

Namun kajian yang dilakukan semalam menunjukkan letusan berlaku di kawasan yang tidak mempunyai ais.

Pihak Pengurusan Penerbangan Awam Iceland telah mengarahkan kapal terbang untuk berada 120 batu nautika dari kawasan gunung berapi ekoran masalah penglihatan.

Semua penerbangan domestik telah dibatalkan.

Tiada letusan dicatatkan di sekitar glasier Eyjafjallajokull sejak tahun 1821. - AP


sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails