Monday, March 22, 2010

MP: ‘Anak jantan berani tapi anak betina penakut’


KUALA LUMPUR, 22 Mac — Perdebatan mengenai istilah “betina” sebagai kenyataan seksis adalah taktik pembangkang untuk mengalih perhatian isu sebenar merujuk ketua pembangkang kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen ekoran dakwaan palsunya terhadap kaitan APCO Worldwide dan gagasan 1 Malaysia.

Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) berkata tindakan anggota parlimen pembangkang mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tidak hadir pada sidang Dewan Rakyat hari ini, seolah-olah kenyataan ketua pembangkang itu tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak.

“Kita lihat bagaimana barisan pembangkang berdiri di belakang Anwar seperti ketua pembangkang itu ''tidak boleh dikritik.”

“Walaupun peraturan mesyuarat dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Belud ada asasnya bahawa Permatang Pauh (Anwar) telah seleweng fakta bahawa APCO mempunyai pengaruh besar dalam 1 Malaysia,” katanya di lobi Parlimen bagi mengulas mengenai sesi perbahasan Dewan Rakyat hari ini.

Sesi perbahasan pagi ini menyaksikan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) membangkitkan peraturan mesyuarat 37(1) dan 36(12) bahawa Anwar mengelirukan Dewan dengan mengaitkan APCO dengan 1 Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Firma perunding komunikasi antarabangsa itu bagaimanapun menafikan dakwaan itu selain menafikan pembabitannya dengan slogan “One Israel” dan kaitannya dengan Perdana Menteri Israel Ehud Barak pada 1999 sepertimana dibangkitkan Anwar ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Rabu lepas.

Atas kenyataan itu, Abdul Rahman mencadangkan Anwar dirujuk kepada jawatankuasa khas yang kemudiannya diberikan perhatian serius oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mencadangkan tempoh selama seminggu diberikan kepada ketua pembangkang untuk memberi penjelasan.

Saifuddin Nasution (PKR-Machang) dalam hujah balasnya, ketika mencelah,berkata Nazri juga pernah mengelirukan Dewan ketika menggulung bajet 2009 mengenai isu tuntutan royalti minyak Kelantan dengan memetik Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 yang menurutnya, telah dimansuhkan.

Namun jawapan Nazri bahawa sebagai “anak jantan” beliau rela untuk disiasat dengan menambah “anak betina di sana tak taulah...” mendapat bantahan anggota Parlimen wanita daripada pakatan pembangkang yang mahu kenyataan itu ditarik balik kerana bersifat seksis.

Ketika ditemui di lobi Parlimen kemudiannya, Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo’Lo Mohd Ghazali daripada PAS menafikan beliau mahu mengalihkan tumpuan kepada isu sebenar.

“Ini kerana tindakan itu seolah-olah analogi anak jantan berani tetapi anak betina penakut... yang saya protes perkataan anak betina. Apa yang kita minta ialah supaya Timbalan Speaker Dewan Rakyat menetapkan peraturan yang perkataan itu tidak boleh digunakan di parlimen,” katanya.

Katanya tujuan beliau memprotes perkataan itu bagi memastikan penggunaan perkataan tersebut tidak terus disalahguna dan dipermainkan dalam Dewan Rakyat.

“Apa jua perkataan yang relevan dengan Parlimen (jika dibangkitkan) tidak membuang masa. Kalau buang masa seperti (anggota parlimen) Bayan Baru yang membangkitkan hal peribadi yang tiada kena mengena,” kata Dr Lo’Lo merujuk kepada pendedahan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengenai kepincangan Anwar selaku ketua pembangkang dan kegagalan pakatan pembangkang mengambil alih kerajaan melalui rancangan 16 Sept 2008 yang gagal.

Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali berkata perdebatan mengenai istilah “anak betina” yang disifatkan seksis itu hanya membuang masa dan tidak membawa apa-apa keuntungan kepada rakyat selain menjadikan dewan lebih kecoh.

“Itulah karenah mereka, buang masa. Biarlah rakyat menilai,” kata Ibrahim. — Bernama

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails