BANGKOK - Kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan yang menggelarkan diri mereka sebagai Baju Merah semalam menggunakan darah manusia untuk menghasilkan lukisan selain menolak tawaran rundingan kerajaan bagi mengakhiri tunjuk perasaan.
Kumpulan itu menulis puisi, gambar dan slogan-slogan politik di atas kain kanvas putih dengan menggunakan baki darah yang mereka dermakan sebelum ini.
Sebelum ini darah itu disimbah di rumah Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva dan pejabat kerajaan pada minggu lalu.
"Generasi akan datang akan tahu bahawa generasi lama sanggup berkorban apa sahaja termasuk darah mereka," kata seorang ahli puisi yang menyertai tunjuk perasaan tersebut, Visa Kantab.
Tunjuk perasaan yang berlangsung selama lapan hari itu dilakukan oleh para penyokong bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang mendakwa kerajaan pimpinan Abihisit tidak sah selain menuntutnya segera meletak jawatan dan mengadakan satu pilihan raya baru.
Abhisit dipilih oleh anggota-anggota Parlimen pada Disember 2008 bagi menggantikan Chaovarat Chanweerakul yang menjadi perdana menteri sementara.
"Kami yakin Abhisit tidak akan bosan," kata seorang pemimpin Baju Merah, Nattawut Saikur.
"Kami juga tidak akan berunding dengan sesiapa kecuali Abhisit dan cuma satu topik iaitu bubarkan kerajaan," kata seorang lagi pemimpin Baju Merah, Jatuporn Prompan. - AFP
sumber:KOSMO
No comments:
Post a Comment