Monday, March 22, 2010

ISA dijangka dilanjutkan hingga 30 Mac di beberapa wilayah di Thai


BANGKOK, 22 Mac — Timbalan Perdana Menteri Thailand yang turut bertanggungjawab mengenai hal ehwal keselamatan negara, Suthep Thaugsuban, akan mencadangkan kepada kabinet untuk melanjutkan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sepatutnya berakhir esok, kepada tarikh 30 Mac ini.

Bagaimanapun menurutnya jumlah wilayah yang dikuatkuasakan undang-undang pencegahan itu akan dikurangkan dari lapan kepada tiga, iaitu wilayah Bangkok, Nonthaburi dan Samut Prakarn.

“ISA perlu dilanjutkan dalam usaha mengekalkan keamanan dan keselamatan semasa, ekoran protes berterusan yang dijangka akan diperhebatkan oleh kumpulan anti kerajaan yang dikenali sebagai kumpulan berbaju merah, terutama di tengah ibu kota,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Suthep berkata cadangan itu akan dibawa kepada mesyuarat kabinet esok yang akan diadakan di pejabat Kementerian Kesihatan, dan bukannya di tempat biasa di Government House.

Beliau berkata perubahan tempat untuk mesyuarat mingguan itu dibuat bagi mengelak daripada ia diadakan berhampiran dengan kumpulan penunjuk perasaan yang berhimpun berdekatan dengan Government House.

ISA yang merupakan peruntukan undang-undang yang membenarkan pihak tentera bekerjasama dengan polis dalam mengekalkan keamanan, dan dia dikuatkuasa di kawasan Nonthaburi dan Samut Prakarn kali ini kerana kedudukannya yang strategic yang berhampiran dengan ibupejabat kementerian-kementerian kerajaan, pejabat-pejabat dan Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.

Suthep berkata pihak berkuasa juga sudah meningkatkan langkah-langkah pencegahan dengan membenarkan petugas tentera serta polis mengawasi pejabat-pejabat kerajaan, manakala pihak yang menjalankan tugas-tugas tinjauan kini membawa senjata.

Bagaimanapun Suthep berkata mereka yang ditempatkan berhampiran dengan kawasan penunjuk perasaan akan kekal tidak bersenjata.

Pada 9 Mac lepas kerajaan mengumumkan penguatkuasaan ISA di Bangkok, Nonthaburi, Pratumthani, Samut Sakorn, Samut Prakarn, Chachoengsao, Prakornsriayudhaya dan Nakornpratom selama 23 hari mulai 11 Mac.

Kumpulan penunjuk perasaan yang diketuai oleh Barisan Bersatu bagi Demokrasi menentang Diktator (UDD) itu mengadakan perhimpunan secara aman bagi mendesak Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva meletak jawatan dan membubarkan Parlimen.

Mereka dijangka mengadakan satu lagi perhimpunan besar-besaran dengan melalui tengah ibukota Sabtu ini, sebagaimana yang mereka lakukan Sabtu lepas selama kira-kira lapan jam yang meliputi jarak sejauh 46 kilometer.

Perhimpunan hujung minggu mereka biasanya mengundang puluhan ribu penunjuk perasaan mengikut anggaran pihak berkuasa, namun UDD menganggar jumlahnya menjangkau ratusan ribu.

Kerajaan tidak tunduk kepada desakan mereka walaupun perhimpunan besar-besaran diadakan, di samping perbuatan menyimbah darah di Government House, kediaman rasmi Perdana Menteri dan ibu pejabat parti pemerintah, Demokratik. — Bernama

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails