Monday, March 22, 2010

Cucu imam bunuh 4 sekeluarga diarah jalani pemeriksaan mental


SEREMBAN, 22 Mac — Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang penggangur Rasidi Ismail yang dituduh membunuh empat anggota keluarganya termasuk datuknya seorang imam di Gemenceh, Januari lepas, dihantar menjalani pemerhatian mental di hospital mental selama sebulan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Nasfy Yasin mengeluarkan perintah itu mengikut Seksyen 342(3) Kanun Acara Jenayah memandangkan buat masa ini tertuduh tidak berupaya untuk membela diri.

“Setelah mendengar penjelasan daripada kamu (tertuduh) tentang kenapa kamu nak mengaku salah, mahkamah berpuas hati bahawa buat masa ini kamu tidak berupaya untuk membela diri. Jadi, pada masa ini mahkamah akan menghantar kamu ke hospital mental untuk pemerhatian,” katanya ketika membuat keputusan berkenaan.

Ahmad Nasfy kemudian menetapkan 22 April untuk sebutan semula kes itu.

Terdahulu Rasidi, 32, mengaku bersalah dan faham apabila pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa membunuh adik perempuannya Siti Khadijah, 22, di rumah bernombor 119, Kampung Batang Rokan, Gemencheh pada 5 Jan

antara 7 dan 11 pagi.

Dia menghadapi tuduhan kedua, ketiga dan keempat iaitu membunuh ayahnya, Ismail Awang, 76, neneknya, Sufiah Katas, 80, dan datuknya, Atan Daud,

87, di rumah tidak bernombor juga di Kampung Batang Rokan pada tarikh dan waktu yang sama.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam Hanif Hassan dan Kamarulzaman Jusoh.

Setelah Rasidi mengaku bersalah dan faham terhadap keempat tuduhan itu, Ahmad Nasfy berkata mahkamah ingin tahu mengapa dia mengaku salah.

Rasidi berkata dia mendapat arahan dari langit.

Bagaimanapun Hanif memohon pengakuan tertuduh ditolak dan tidak direkodkan. — Bernama

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails