Monday, March 15, 2010

Anggota PKR Kuala Selangor pulaukan AGM


Kira-kira 50 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang naik angin, memulaukan mesyuarat agung tahunan (AGM) PKR bahagian Kuala Selangor kerana tidak berpuas hati dengan cara mesyuarat itu dikendalikan. Mereka turut berpendapat bahawa AGM itu "tidak sah" dan tidak dikendalikan sejajar dengan perlembagaan parti memandangkan tiada notis yang sewajarnya diberikan sebelum mesyuarat diadakan. Bekas Ketua Penerangan bahagian itu, Ibrahim Mahidin, berkata setiausaha AGM tidak memberi notis mesyuarat yang sewajarnya kepada anggota parti bagi memaklumkan mengenai tarikh, venue dan masa mesyuarat itu, yang sepatutnya dibuat 14 hari sebelum AGM berlangsung. "Notis serta agenda mesyuarat juga tidak dikepilkan pada minit untuk diedarkan pada AGM itu dan melanggari Artikel 24.6 perlembagaan parti. "Saya dimaklumkan bahawa notis bagi AGM hari ini disiarkan dalam sebuah akhbar harian berbahasa Malaysia pada 9 Mac, 2010, iaitu lima hari sebelum AGM berlangsung dan ini sesuatu yang tidak wajar," katanya kepada pemberita di Kuala Selangor, semalam. Ibrahim berkata AGM itu, yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor dan Pengerusi PKR Kuala Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, hanya dihadiri oleh 241 anggota daripada sejumlah lebih 4,000 anggota dalam bahagian itu. Beliau berkata anggota PKR juga tidak diberi peluang pada AGM berkenaan untuk membahaskan isu yang menjejaskan parti sejak akhir-akhir ini. "PKR bahagian Kuala Selangor yang diketuai oleh Tan Sri Khalid Ibrahim perlu memberi perhatian kepada masalah ini dan dan mengadakan perbincangan secara bersemuka dengan anggota yang marah ini secepat mungkin," katanya. Sementara itu, Ibrahim turut mendakwa seorang pemegang jawatan dalam jawatankuasa PKR bahagian Kuala Selangor diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi melalui sepucuk surat bertarikh 8 Okt, 2009. "Mengikut perlembagaan semua parti politik, seseorang yang diisytiharkan muflis tidak boleh bertanding atau memegang sebarang jawatan dalam parti," katanya. - Bernama

sumber: malaysiakini

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails