|
|
PORT DICKSON - Anuar Manan (pelumba kelahiran Terengganu) mencipta sejarah sebagai pelumba pertama negara yang memenangi peringkat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) apabila menawan peringkat kelima dari Muar ke Port Dickson, semalam.
Lebih bermakna, pelumba Geumsan Ginseng itu yang menamatkan kemarau 15 tahun untuk menyaksikan kejuaraan milik pelumba tempatan, turut merampas jersi hijau (Raja Pecut) selain mempertahankan jersi biru (pelumba terbaik Asia keseluruhan).
Perlumbaan sejauh 111.5 kilometer itu menyaksikan Anuar tidak menghadapi masalah untuk menjadi orang pertama melintasi garisan penamat, walaupun diasak oleh pelumba lain termasuk Vidal Celis dari Footon Servetto (kedua) dan Rene Haselbacher (Vorarlberg Corratec, ketiga).
Anuar, yang kehilangan jersi hijau kepada pelumba Jayco Skins, Michael Matthews dalam perlumbaan peringkat keempat kelmarin, menebus kehampaan bukan sahaja menjuarai peringkat kelima tetapi merampas semula gelaran Raja Pecut.
Menurut pelumba berusia 24 tahun itu, hasil bantuan rakan senegara yang mewakili pasukan benua dan kebangsaan, ia memudahkannya untuk menawan peringkat kelima semalam.
"Saya berasa gembira dengan kejayaan ini dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia kerana memberi sokongan kepada saya selama ini," katanya.
Menceritakan detik-detik menjuarai peringkat semalam, ujar Anuar, taktik menyimpan tenaga kerana tidak mengerah kudrat untuk memburu mata di zon pecutan seperti mana yang dilakukannya sebelum ini, adalah rahsia kemenangannya.
"Hari ini saya rasa sangat mudah untuk merampas jersi hijau kerana di zon pecutan pertama (di Umbai), saya mendapat bantuan dari pelumba Marco Polo, Loh Sea Keong dan beberapa pelumba pasukan kebangsaan.
"Jadi, saya tidak perlu berhempas-pulas untuk meraih mata pertama zon pecutan pertama, daripada tiga zon yang disediakan," katanya.
Ditanya mengenai pencabar utamanya dalam perebutan jersi hijau, Anuar berkata, dia sempat memperhatikan pergerakan Matthews di zon pecutan kedua (Sungai Udang) dan ketiga (Kuala Sungai Baru).
"Saya lihat Matthews tidak teruja untuk meraih pungutan mata pecutan di zon pecutan kedua dan ketiga, menyebabkan saya mengambil keputusan untuk kekal dalam kumpulan tanpa melakukan breakaway.
"Saya hanya berazam untuk mengekalkan jersi hijau ini sehingga tamat saingan LTdL," kata pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu.
Sementara itu jersi kuning masih menjadi milik pelumba Tabriz Chemical, Tobias Erler, manakala Peter McDonald dari Drapac Porsche mempertahankan jersi polka dot (Raja Bukit) yang telah dimenanginya sejak perlumbaan peringkat pertama.
Hari ini, saingan LTdL akan memasuki peringkat keenam dari Putrajaya ke Genting Highlands, yang merangkumi jarak sejauh 102.8 kilometer termasuk tiga zon pecutan dan dua zon pendakian.
utusan meloya
No comments:
Post a Comment