Friday, March 12, 2010

Carlos Slim terkaya di dunia


slim


NEW YORK - Buat kali ketiga dalam tempoh tiga tahun, dunia mempunyai seorang lelaki paling kaya yang baru apabila majalah Forbes mengeluarkan senarai itu bagi tahun 2010, kelmarin.

Taikun telekomunikasi dari Mexico, Carlos Slim merupakan bilionair paling kaya dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$53.5 bilion (RM177.5 bilion).

Slim merupakan bilionair pertama dari negara membangun yang berjaya 'mengalahkan' bilionair dari Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah.

Kedudukannya itu sekali gus meletakkan pengasas Microsoft, Bill Gates di tempat kedua manakala pelabur terkenal dari AS, Warren Buffett di tangga ketiga.

Slim berusia 70 tahun dan merupakan anak kepada seorang imigran Lebanon yang bekerja sebagai penjaga kedai.

Kejatuhan kedudukan Gates dan Buffett banyak dipengaruhi oleh kemelesetan ekonomi AS, di samping aktiviti kebajikan atau derma yang mereka lakukan.

Perniagaan konglomerat Slim meliputi perniagaan runcit, telekomunikasi, pengilangan dan hartanah.

Lelaki itu dikenali kerana sikapnya yang tidak memakai sut mahal dan jarang menggunakan komputer.

Sebaliknya, beliau lebih gemar menulis menggunakan buku nota.

Di negara Asia Tenggara, Malaysia mendahului jumlah bilionair dengan sembilan orang.

Ia diikuti oleh tujuh orang dari Indonesia dan empat orang warga Singapura.

Tan Sri Robert Kuok, 86, yang mempunyai kekayaan sebanyak AS$14.5 bilion (RM48.13 bilion) berada di tempat 33. Beliau mengalahkan George Soros yang berada di kedudukan 35 bersama pengasas Microsoft, Paul Allen dengan kekayaan AS$13.5 bilion atau (RM44.8 bilion).

Tokoh perniagaan dari Malaysia, Ananda Krishnan, 71, berada di tempat 89 dengan kekayaan AS$7.6 bilion (RM25 bilion).

Pemilik syarikat I0I Berhad, Tan Sri Lee Shin Cheng, 70, dengan kekayaan berjumlah AS$4.4 bilion (RM14.6 bilion) menduduki tempat ke-189.

Selain itu, pengasas bersama Hong Leong Bank, Tan Sri Quek Leng Chan, 69, dan pengerusi Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow, 80, menduduki tempat ke-277 dengan memiliki kekayaan sebanyak AS$3.4 bilion (RM11.2 bilion).

Pengasas syarikat hartanah YTL, Tan Sri Yeoh Tiong Lay, 72, dan keluarganya mempunyai kekayaan sebanyak AS$2.3 bilion (RM7.63 bilion) menduduki tempat ke-421.

Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary menduduki tempat ke-655 dengan kekayaan AS$1.5 bilion (RM4.97 bilion).

Tan Sri Vincent Tan berada di tempat 828 dengan kekayaan AS$1.2 bilion (RM3.98 bilion).

Pengasas syarikat pembalakan, Rimbunan Hijau Group, Tan Sri Tiong Hiew King yang berusia 75 tahun berada di tempat 937 dengan kekayaan sebanyak AS$1 bilion (RM3.3 bilion).

Meneliti senarai 20 bilionair teratas, anak pengasas syarikat Reliance Industries dari India, Mukesh Ambani yang berusia 52 tahun menduduki tempat keempat dengan harta sebanyak AS$29 bilion (RM96.2 bilion).

Kerabat diraja Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal Al-Saud boleh dikatakan sebagai orang Islam paling kaya di dunia dengan harta sebanyak AS$19.4 bilion (RM64.3 bilion) dengan menduduki tempat ke-19.

Pengasas bersama enjin carian Google, Sergey Brin, 36, menduduki tempat ke-24 dengan kekayaan AS$17.5 bilion (RM58 bilion).

Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi yang dikaitkan dengan skandal melibatkan beberapa wanita memiliki kekayaan sebanyak AS$9 bilion (RM29.8 bilion) berada di tempat ke-74.

Anak kelahiran Itali yang juga seorang pereka fesyen terkenal, Giorgio Armani, berada di tempat 144 dengan kekayaan sebanyak AS$5.3 bilion (AS$17.5 bilion).

Rakan kepada Sergey Brin iaitu Larry Page, 37, yang berada di kedudukan 24 dengan kekayaan sebanyak AS$17.5 bilion (RM58.12 bilion).

Pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich, 43, pula disenarai di tempat ke-50 dengan harta sebanyak AS$11.2 bilion (RM37.2 bilion).

Pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg yang baru berusia 25 menduduki tempat ke-212 dengan kekayaan sebanyak AS$4 bilion (RM13.2 bilion).

Pembikin filem mega seperti George Lucas, 65, dan Steven Spielberg pula berkongsi kedudukan sama iaitu di tangga 316 dengan kekayaan AS$3 bilion (RM9.95 bilion).

Sementara itu, hartawan hartanah terkenal AS, Donald Trump, berada di tempat 488 dengan kekayaan AS$2 bilion (RM6.6 bilion). - Agensi


KOSMO

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails