Thursday, March 18, 2010

GMI tetap mahu ISA dimansuh


Orang ramai menghadiri protes anti-ISA di Kuala Lumpur tahun lalu. — Gambar fail

KUALA LUMPUR, 17 Mac — Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), dianggotai lebih 83 organisasi terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan, parti poliltik dan badan hak asasi manusia, terus menggesa kerajaan agar menggugurkan cadangan pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tetapi sebaliknya menegaskan ia mesti dimansuhkan.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, GMI berkata dalam kerajaan ingin meminda akta ini, satu penangkapan ISA terbaru telah diberi liputan besar-besaran oleh media milik kerajaan bahawa kerajaan telah menahan sekumpulan pelajar yang majoritinya dari luar negara yang sedang menuntut di beberapa universiti di Malaysia dan menuduh mereka sebagai pengganas antarabangsa.

“Seramai 12 orang telah ditahan pada 21 Jan lalu.

“Mereka telah dinafikan hak untuk bertemu peguam walaupun telah beberapa kali dipohon.

“Mereka telah memfailkan permohonan habeas corpus sehingga hari perbicaraan iaitu pada 11 Mac, mereka masih tidak dibenarkan berjumpa peguam,” kata kenyataan itu.

Kabinet dijadual meneliti rang undang-undang itu Jumaat ini sebelum dibawa ke Parlimen.

Kenyataan itu menambah, kerajaan dengan ini jelas mencabul hak mereka.

“Apakah ini yang dikatakan pindaan yang menambah baik ISA?

“Tiba-tiba mereka yang dituduh pengganas itu dibebaskan dan secepat kilat dihantar pulang ke negara masing-masing dan beberapa orang masih menunggu di Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang tanpa memaklumkan kepada isteri dan ahli keluarga mereka dan tanpa membenarkan berjumpa ahli keluarga mereka sebelum dihantar pulang,” katanya.

Kenyataan itu menambah, isteri-isteri tersebut adalah Bashirah isteri kepada Luqman Abdul Salam yang dihantar pulang pada 13 Mac dan Khalidah isteri kepada Abdul Alhi Bolajoko Uthman yang dihantar pada 14 Mac.

Kedua-duanya dihantar pulang ke Nigeria. Ummu Huzaifah isteri kepada Sheikh Aiman warganegara Syria, seorang pelajar PhD Universiti Putra Malaysia hanya dapat bercakap dengan suaminya melalui telefon sejurus sebelum suaminya berlepas semalam.

“Tindakan kerajaan Malaysia yang mempunyai elemen penderaan emosi dan psikologi terhadap isteri mangsa ISA adalah bertentangan dengan Konvensyen Antarabangsa, Cedaw yang mengehendaki setiap negara di dunia menghentikan sebarang bentuk penderaan dan keganasan terhadap wanita, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, Jawatankuasa Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA(PSK-GMI) mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap pasukan polis dan jabatan imigresen Malaysia yang membiarkan ahli keluarga mereka yang ditahan bersendirian terumbang-ambing di Malaysia.

“Mereka tidak mempunyai keluarga di sini bahkan mereka datang kerana menemani suami mereka untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia.

“Alangkah terkejutnya mereka apabila tiba-tiba suami mereka ditahan tanpa dibenarkan membela diri terus dihantar pulang dan meninggalkan mereka bersendirian dengan anak-anak di sini.

“Mereka adalah wanita yang mempunyai hak untuk dilayan seperti manusia dan bukan dibuat sesuka hati oleh Menteri Dalam Negeri,” katanya.

Kenyataan itu menambah pihaknya memberi amaran kepada Menteri Dalam Negeri bahawa kes penangkapan ini akan menjadi bebanan dan memburukkan imej Malaysia di mata dunia.

“Malaysia yang selama ini mempromosikan bahawa negara kita adalah destinasi pelancongan dan sebagai hub pendidikan pelajar luar negara khususnya dari negara timur tengah telah tercemar dan menakutkan mereka kerana adanya undang-undang drakonian iaitu ISA,” katanya.

Jawatankuasa Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA(PSK-GMI) yang selama ini menjadi tempat mengadu nasib bagi kaum wanita dan kanak-kanak mangsa ISA, tetap dengan pendirian bahawa ISA telah menzalimi golongan wanita, tambah kenyataan itu.

“Hasrat kerajaan yang kononnya membela wanita adalah ternyata kenyataan hipokrat apabila menggunakan ISA terhadap rakyat dan sesiapa sahaja dan sekaligus menganiaya golongan wanita dan kanak-kanak yang menjadi keluarga tahanan,” kata kenyataan itu sambil menambah, sejak tahun 1960 hingga kini lebih 20,000 orang ditahan tanpa bicara di bawah ISA.

Kesan penangkapan ISA, lebih 50,000 orang terdiri dari wanita dan kanak-kanak yang telah kehilangan ketua keluarga yang mencari rezeki dan tempat bergantung pendidikan dan kasih sayang seorang bapa, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu disokong Ahli Parlimen Ampang dan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin; Chong Eng (Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Ketua Wanita DAP); Nuridah Salleh (Ketua Muslimat PAS); Dr Siti Mariah Mahmud (Ahli Parlimen Kota Raja); Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng); Tian Chua (Ahli Parlimen Batu); Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai); Dr Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali (Ahli Parlimen Titiwangsa); Haniza Talha (Adun Taman Medan, Timbalan Speaker DUN Selangor); Rodziah Ismail (Adun Batu Tiga dan Exco Wanita Kerajaan Negeri Selangor); Siti Aishah Ghazali (Adun Merbau Pulas dan Exco Wanita Kerajaan Negeri Kedah); Saari Sungib (Adun Hulu Kelang); Mumtaz Md Nawi (Senator, Kelantan); Siti Zailah Mohd Yusof (Ahli Parlimen Rantau Panjang); Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan); dan Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Serdang).


sumber: malaysiainsider

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails