Friday, March 19, 2010

MP Kuala Krau perlekeh generasi kedua Felda

KUALA LUMPUR, 19 Mac: Ahli Parlimen (MP) Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said yang mendakwa seorang pemimpin PAS Pusat menghasut generasi kedua Felda agar membenci kerajaan seolah-olah memperlekeh kebolehan generasi itu.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali yang menyelar kenyataan itu berkata, tuduhan Ismail bahawa Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman yang juga Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) meracuni dan mempengaruhi anak-anak peneroka Felda agar membenci kerajaan melalui ceramah-ceramahnya seolah-olah merendah-rendahkan tahap pemikiran generasi kedua Felda.










"Wakil Kuala Krau seolah-olah merendahkan kebolehan generasi kedua Felda untuk menggarap isu-isu terkini dan untuk memastikan kebajikan mereka terbela," katanya ketika ditemui sewaktu menziarahi Mohd Saiful Nasrullah, 19, anak seorang aktivis PAS di Jalan Peel, dekat sini yang terlantar akibat kemalangan jalan raya. (Gambar sebelah)

Lo' Lo' yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, generasi kedua Felda bangkit memperjuangkan hak mereka bukan kerana dihasut oleh sesiapa tetapi kerana mereka mula sedar bahawa mereka ditindas oleh kerajaan selama ini.

"Bukannya generasi kedua Felda kurang cerdik sehingga boleh dipengaruhi oleh seorang aktivis dan juga sebuah buku tetapi mereka sebenarnya telah menyedari kepincangan dan penyelewengan yang dilakukan kerajaan dalam Felda," tegasnya.

Ismail sewaktu membahaskan titah junjung kasih Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Parlimen baru-baru ini turut mendakwa Mazlan turut menghasut generasi kedua Felda melalui bukunya, 'Felda Dulu Tolong Sekarang Ah Long'.

Lo' Lo' dalam celahannya sewaktu ucapan Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyentuh isu Felda, membangkitkan perkara itu dan meminta Anwar menjelaskannya kepada dewan.

Anwar dalam ucapannya berkata, sudah menjadi sifat kerajaan Umno/BN akan menuduh pihak yang bangkit menentang kezaliman sebagai penghasut.

Beliau turut menyatakan bukti bahawa memang wujud penyelewengan dalam Felda yang sering dicanangkan sebagai membela nasib peneroka.

"Tanam sendiri umpamanya, wang caruman peneroka di dalam tabung tanam semula RM17,000. Apa yang ditimbulkan masalah ini ialah halangan bagi yang sedia dan mendapatkan beberapa kemudahan sendiri dan juga apabila ada usaha menanam persendirian mereka dibayar hanya RM7,000 dari wang yang mereka carum di tabung tanam semula.

"Hantaran buah sawit pun begitu juga. Peneroka dikenakan tahanan sehingga 20% dari pendapatan dari setiap hantaran. Ini terlalu tinggi. Mana dia menteri berkenaan, mana dia Pengerusi Felda?

"Dia bercakap bagi pihak korporat atau bagi pihak peneroka? Kalau bagi pihak peneroka dia patut sekurang kurangnya dengar. Adakah adil potongan itu 20% dalam keadaan keuntungan berbilion-bilion ringgit oleh syarikat Felda," katanya.

Sehubungan itu, Lo' Lo' meminta Ismail menarik balik kenyataan itu dan meminta beliau meneliti fakta-fakta yang dikemukakan Mazlan mengenai penyelewengan yang berlaku dalam Felda.

"Saya mohon Datuk Ismail bagi respon mengenai kenyataannya itu dan kalau benar Felda tidak melakukan penyelewengan, buktikan dengan fakta juga,” ujarnya.

Sementara itu, dalam ziarahnya, beliau menasihati Mohd Saiful agar bersabar menerima ujian dari Allah dan memberikan kata-kata perangsang kepadanya.

"Saya ucapkan takziah di atas apa yang menimpa diri dan keluarga. Walau apa pun ujian yang kita terima, kita mesti bersabar dan bersangka baik dengan Allah. Jangan persoalkan kenapa Allah memilih kita untuk diuji, tapi sentiasalah berdoa agar kit aterus diberikan kekuatan," katanya kepada Mohd Saiful.

Mohd Saiful merupakan anak kepada seorang warga kurang upaya (OKU), Omar Abdul Aziz yang kisahnya pernah disiarkan di Harakahdaily sebelum ini.

Mohd Saiful mengalami kecederaan dan patah kaki kanan apabila motosikal yang dinaikinya terbabas lalu melanggar tiang lampu di Hulu Langat, baru-baru ini.


sumber: harakahdaily

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails