Wednesday, March 17, 2010

Muhyiddin: Pembangkang tidak mampu jadi wakil rakyat berwibawa


KUALA LUMPUR, 17 Mac Anggota Parlimen pembangkang yang bertindak keluar dari Dewan Rakyat tidak mampu berfungsi sebagai wakil rakyat berwibawa, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata tindakan meninggalkan dewan semalam juga telah menyebabkan anggota Parlimen berkenaan tidak dapat memanfaatkan masa mereka untuk menyuarakan masalah rakyat.

“Kita harap rakyat akan dapat menilai bagaimana mereka bukan sahaja tidak mengendahkan titah nasihat Seri Paduka Baginda, tetapi juga tidak dapat berfungsi sebagai ahli Parlimen yang berwibawa apabila tidak hadir semalam pada waktu debat.

“Mereka keluar dewan ramai-ramai, maknanya mereka sudah tidak dapat menggunakan masa yang penting dalam dewan untuk menyuarakan beberapa perkara pokok masalah rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk pembangunan sukan di sekolah di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran diminta mengulas tindakan sekumpulan anggota Parlimen pembangkang yang bertindak keluar dewan selepas tidak dibenarkan membahaskan usul Kementerian Dalam Negeri berkenaan arahan kepada ketua polis untuk memastikan jalan dan laluan ke Parlimen dibuka sepanjang masa bagi memudahkan anggota Parlimen.

Isnin lepas, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam titah ucapan baginda sempena pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-12, sekali lagi menegur tingkah laku dan tutur kata anggota Parlimen.

Muhyiddin berkata perkara itu adalah serius jika Seri Paduka Baginda mengulangi tegurannya terhadap perilaku yang disifatkan baginda tidak mencerminkan imej wakil rakyat.

“Tetapi malangnya, mereka tidak menghormati ataupun beri perhatian kerana pastinya, kalau sudah berulang dua kali, itu satu pandangan yang serius yang telah disuarakan Seri Paduka Baginda, takkan mereka tidak faham lagi.

“Mengambil langkah seperti mana yang kita lihat semalam, bukan merupakan contoh yang terbaik, sedangkan mereka ini ada yang terdiri daripada orang-orang yang berpengalaman, kita tahu dari segi latar belakang, berpendidikan tinggi, profesional dan sudah lama berpolitik.

“Kita harap rakyat akan dapat menilai mereka ini,” katanya. — Bernama


komen: hang je pandai pok din memerintah sampai negeri hang nak muflis 2012...

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails