Kes kematian kanak-kanak, Syafiah Humairah Sahari, 3, mangsa penderaan kejam yang meninggal dunia, Khamis lalu, sememangnya amat mendukacitakan. Kanak-kanak berusia tiga tahun itu disahkan meninggal dunia akibat pendarahan pada otak dan mengalami kerosakan buah pinggang, akibat dihentak dan ditendang dengan kuat oleh suspek yang tidak berhati perut. Bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat kanak-kanak itu di Hospital Kuala Kubu Bharu mendapati, kematian Syafiah Humairah akibat kecederaan serius termasuk kulit kepalanya terkoyak kerana dipijak.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid berkata, bedah siasat mendapati, mangsa mengalami penderaan berterusan dan ia boleh dilihat berdasarkan kepada kecederaan yang terdapat pada tubuhnya.
"Terdapat kesan-kesan kecederaan luaran yang baru dan lama dipercayai akibat dipukul dengan objek keras pada tubuh mangsa.
"Kesan lebam turut dikesan di bahagian belakang tubuh mangsa selain di leher, pipi dan bahunya," katanya ketika ditemui di bilik mayat hospital.
Allah ta'ala mengetahui yang tebaik buatnya. Moga Syafiah kini berada dalam kerehatan kekal abadi. Secara ringkas pembacaan saya dalam isu ini, ia memperlihatkan beberapa perkara :-
1) Institusi Keluarga semakin pincang
Kepentingan institusi kekeluargaan WAJIB diperkasa bermula dari peringkat pendidikan di sekolah menengah, univerisiti, kursus perkahwinan dan seterusnya. Saya masih ingat, seorang pakar motivasi rumahtangga berkata kepada saya, berdasarkan pengalamannya mengendalikan ribuan kursus rumahtangga bahagia, ternyata amat ceteknya ilmu pengendalian rumah tangga di kalangan masyarakat di Malaysia.
Kes Syafiah meunjukkan bagaimana kesan keruntuhan rumahtangga kesan itu melarat sehingga membawa kepada kematian kanak-kanak tersebut.
2) Masyarakat terlalu tidak peduli sekeliling
Masyarakat kita terlalu ignorance terhadap satu sama lain. Iaitu tahap kepedulian dan busy body jenis positif amat kurang berbanding busy body jenis negatif. Saya berasa amat dukacita membaca pendedahan orang ramai yang rupanya ada melihat Syafiah dipukul dan dipijak di kawasan awam, namun dibiarkan. Lebih dukacita, apabila menolong mengangkat Syafiah untuk diletakkan di dalam teksi sahaja si pendera. (sumber ). Mungkin alasan yang akan digunakan adalah kedua saksi terbabit masih muda (teenagers) dan tidak tahu apa yang wajar dilakukan. Justeru, selepas ini kita harap pihak kerajaan boleh lebih besar-besaran lagi aktifkan kempen elak kanak-kanak didera dengan memberikan talian percuma untuk dihubungi.
Hal membiarkan kanak-kanak dipukul di khalayak itu TIDAK AKAN sama sekali berlaku jika di United Kingdom yang mana kemaslahatan kanak-kanak sangat dijaga. Hinggakan, jika ditinggalkan kanak-kanak bawah 12 tahun tanpa dewasa di rumah adalah kesalahan dan boleh didenda, demikian meninggalkan mereka di dalam kereta tanpa ditemani orang dewasa. Begoitu juga sekiranya didengari tangisan kanak-kanak lebih dari biasa dari sebuah rumah, polis akan segera dihubungi oleh jiran tetangga untuk bertindak menyiasat rumah terbabit.
Saya terbayang kank-kanak tersebut dipukul seperti video deraan oleh pembantu rumah ini. La hawala Wala Quwwata Illa Billah, amat simpati kepada kanak-kanak kecil yang sama sekali tidakmampu melawan atau mempertahankan dirinya. Pastinya deraan terhadap Syafiah lebih dahsyat dan teruk.
Memang benar, ada kes kematian kanak-kanak akibat didera di UK, tetapi liputannya amat dahsyat sehingga beberapa pegawai jabatan masyarakat dan kerajaan terpaksa meletak jawatan akibat dikatakan gagal mengenalpasti masalah tersebut di rumah mangsa. Masyarakat kita perlu lebih faham, ‘jaga tepi kain' yang ditegah oleh Islam dan mana yang diperlukan malah dituntut.
3) Hubungan haram berleluasa
Tindakan ibu mangsa yang dikatakan tinggal serumah dengan teman lelaki juga amat mendukacitakan. Dari perspektif Islam, wanita ini tidak akan lepas dari tanggungjawab kematian anaknya walau apa pun keputusan mahkamah dunia. Biarlah JAIS mengenakan tindakan sekiranya terbukti ada hubungan haram berlaku, sebagaimana laporan ini. (sumber )
4) Kejahilan peruntukan hak suami isteri
Berdasarkan keterangan wanita terbabit, dia digantung tanpa tali oleh si suami yang berada di dalam penjara. Jika benar, tindakan suaminya yang mengantung isterinya tanpa tali juga adalah satu tindakan yang tidak wajar sama sekali. Cuma satu lagi, adakah kita tidak mempunyai undang-undang yang cukup untuk melepaskan wanita sebegini dari ketidakwajaran suami atau wanita ini yang tidak mengetahui tindakan yang perlu dilakukan?. Saya kira, persoalan hak suami isteri dalam ruamhtangga dan peruntukan undang-undang dalam pengendaliannya perlu dijadikan silibus utama dalam setiap kursus perkahwinan. (sumber )
5) Pengetahuan agama yang amat tipis
Kes ini juga menunjukkan betapa teruknya pendidikan agama dan bab halal haram di kalangan masyarakat. Sehingga boleh tinggal bersama teman lelaki tanpa aqad nikah. Padahal mempunyai teman lelaki serta saling berhubung dalam hal yang menaikkan syahwat itu sendiri dilarang di dalam Islam, keluar ber'dating' dan berdua-duaan lebih lagi diharamkan. Namun pastinya statistik pasangan tanpa nikah duduk berduaan semakin meningkat, khsusnya apabila mereka tinggal berjauhan dari ibubapa. Atau ibubapa mereka sendiri tidak pernah bernikah.
Catatan ringkas saya ini cuma ingin memohon kepada semua pihak khususnya pihak kementerian terbabit untuk proaktif melakukan pembaharuan agar kuasa yang dipegang dapat digunakan sebaiknya untuk meminimakan statistik kes sebegini. Kita semua juga berharap agar ilmu pengetahuan agama dan parenting skill dapat diprogramkan oleh pihak berkuasa untuk warga masyarakat melalui budjet-budjet besar besar. Seruan juga kepada anggota masyarakat agar lebih ‘busy body' dalam hal kemaslahatan kanak-kanak dan jiran tetangga.
Kita berdoa agar bala Allah secara besar-besaran tidak ditimpakan atas keculasan segolongan besar masyarakat dalam melaksanakan amanahnya. Lebih dari itu, kita berdoa agar kita tidak tergolong dalam golongan terbabit. Ketahui Rasulullah mengingatkan kepada Ali Abi Talib k.w ": Jangan marah, jangan marah, jangan marah" . Kerana kemarahan membutakan aqal sehingga mendorong seseorang untuk meukul kanak-kanak tanpa pertimbangan yang waras, akhirnya boleh membawa kepada kematian dan seterusnya penyesalan.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
No comments:
Post a Comment