Saturday, March 20, 2010

Keganasan merebak di Asia Barat jika Iran diserang


BEIRUT 19 Mac - Keganasan mampu merebak ke negara Asia Barat jika Israel melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran, kata timbalan ketua Hezbollah, Sheikh Naim Kassem, hari ini.

Israel melihat program nuklear Iran sebagai satu ancaman terhadap kewujudannya dan tidak akan menolak rancangan melancarkan serangan ketenteraannya jika usaha diplomasi gagal mengekang program nuklear Republik Islam Iran.

Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara barat mengesyaki Iran membina senjata nuklear dan kini berbincang untuk mengenakan sekatan baru ekonomi ke atas Teheran.

Iran telah berkali-kali menyatakan bahawa program nuklearnya adalah untuk tujuan keamanan dengan sasarannya untuk menjana kuasa elektrik.

"Israel atau AS tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya untuk mengebom Iran dan berharap semuanya berjalan seperti biasa.

"Sebarangan serangan ke atas Iran mampu 'membakar' seluruh rantau ini dan penyerang perlu membayar harga yang tinggi, tidak kira sama ada ia dilakukan oleh Israel atau AS," kata Sheikh Naim Kassem kepada Reuters.

Beliau berkata, mana-mana negara yang membenarkan serangan ke atas Iran dilancarkan dari pangkalan AS di wilayah mereka juga akan menerima tindakan balas.

Kassem menolak untuk membincangkan secara terperinci tindakan yang akan dilancarkan oleh Hezbollah sebagai tindak balas atas serangan yang dilakukan ke atas Iran.

Pegawai Israel berkata, Hezbollah dan kumpulan pejuang Palestin seperti Hamas akan melancarkan serangan roket secara serentak melepasi sempadan bagi pihak Iran sekiranya negara itu diserang dan senario ini digambarkan melalui dalam latihan pertahanan udara bersama Israel-AS pada tahun lalu. - Reuters

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails