Monday, March 15, 2010

Messi mampu julang Argentina



MESSI dianggap sebagai pewaris takhta yang ditinggalkan oleh legenda Argentina, Diego Maradona.


ARGENTINA memiliki sejarah tersendiri dalam saingan bola sepak antarabangsa.

Pada setiap penampilan Piala Dunia, pasti ada nama besar akan dilahirkan yang boleh mengubah hala tuju mereka pada kempen tersebut.

Antaranya ialah Guillermo Stabile, penjaring terbanyak pada Kejohanan Piala Dunia FIFA 1930, Mario Kempes, wira Argentina ketika kejuaraan pertama mereka pada 1978 dan nama-nama lain pada era 90-an seperti Gabriel Batistuta dan Hernan Crespo.

Begitupun selepas era Batistuta dan Crespo, skuad yang dikenali sebagai La Albiceleste ini dilihat ketandusan seorang penyerang berwibawa.

Ketika pengkritik bola sepak melihat Argentina menghadapi masalah di jentera serangan, tiba-tiba lahir seorang pemain berbakat yang dilihat sebagai jawapan kepada masalah tersebut.

Lionel Messi, 23, adalah pewaris kepada takhta yang ditinggalkan oleh legenda Argentina, Diego Armando Maradona.

Peminat Argentina menganggapnya sebagai pemain yang mampu mengubah nasib skuad La Albiceleste ini di Afrika Selatan, malah Maradona yang juga jurulatih Argentina mengakui bahawa Messi seorang penyerang yang lebih hebat daripadanya.

Begitupun, cabaran besar kini menanti Messi pada Piala Dunia 2010.

Pemain Terbaik Dunia 2009 itu harus membuktikan kemampuan sebenarnya kepada peminat Argentina dengan prestasinya seperti yang dibuktikan bersama Barcelona pada Piala Dunia kali ini.

Setakat ini Messi masih gagal memenangi hati peminat negaranya di pentas antarabangsa dan untuk melakukannya dia harus lupakan seketika bayangan Maradona yang sering menghantuinya.

Messi sebenarnya mengalami masalah hormon dalam badannya sekali gus telah mengubah nasib keluarganya dan sudah tentu masa depannya sendiri.

Sejak berpindah ke Sepanyol bagi mencari kelab yang sanggup menanggung kos rawatan terhadap masalah yang dihadapinya itu, Messi mula menunjukkan kualiti sebenar.

Kemahirannya mula menarik perhatian Barca dan tidak lama kemudian dia mula dilabel sebagai salah seorang pemain berbakat di kelab Catalan itu.

Dia membuat penampilan sulung ketika menentang Espanyol pada Oktober 2004 dan sejak itu Barcelona terus menagih sentuhan bintang sensasi mereka itu.

Kejuaraan pertamanya hadir dalam Liga Sepanyol pada musim 2004/05.

Selepas itu dia memenangi dua lagi gelaran liga dan dua trofi Liga Juara-Juara termasuk gelaran lain seperti Piala Raja Sepanyol dan Piala Super Eropah.

Messi juga disenaraikan dalam skuad Argentina pada Piala Dunia 2006, namun dia jarang diberi peluang beraksi pada kempen di Jerman itu.

Dia juga membantu skuad bawah 20 Argentina menjuarai Piala Dunia B-20 pada 2005 dan juga memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing.

Kekuatan Messi terletak pada kemahirannya menggelecek bola serta larian pantasnya dari kawasan tengah yang amat sukar dihalang.

Dengan kehebatannya itu serta ditambah pula dengan peranannya yang selalu mencetuskan masalah kepada pertahanan lawan, Messi sudah pasti menjadi senjata rahsia La Albiceleste di Afrika Selatan nanti.

Messi mungkin gagal mempamerkan kehebatan sebenarnya pada Piala Dunia 2006 di Jerman di mana Argentina hanya mampu melangkah ke suku akhir saja pada kempen tersebut.

Namun, pada Piala Dunia 2010 kali ini, penyerang sensasi Argentina ini tentunya akan menebus kekecewaannya dengan mempamer prestasi terbaik, sekali gus menjadi penggerak penting terhadap kejayaan pasukannya itu pada kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan Jun ini.


sumber: KOSMO


Komen: Argentina pasukan pilihan penulis untuk menjuarai Piala Dunia di Afrika Selatan.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails