Friday, March 19, 2010

Serah Agong memorandum royalti minyak ditangguh


KUALA TERENGGANU, 19 Mac — Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) menangguhkan hasrat untuk menyerahkan memorandum Rakyat Menuntut Royalti berkaitan dengan tuntutan royalti minyak kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, esok.

Sebaliknya memorandum itu yang meminta ditubuhkan sebuah suruhanjaya diraja menyiasat penyaluran wang ihsan kepada Terengganu dan menggesa Umno Terengganu menarik balik syor dibatalkan bayaran royalti kepada negeri itu satu dekad lalu hanya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong kemudian hari.

“Kami memutuskan untuk tidak meneruskan urusan penyerahan memorandum, sebaliknya akan diserahkan pada satu tarikh yang lain,” kata Pengerusi Mampat Mohd Fauzi Abu Samah ketika ditemui di sini malam tadi.

Bagaimanapun beliau tidak memberi sebab-sebab yang menyumbang kepada pendirian mereka itu.

The Malaysian Insider difahamkan ia berkaitan dengan aspek keselamatan ekoran amaran polis kelmarin.

Gegar dan Mampat merancang untuk menyerahkan memorandum itu kepada Tuanku Mizan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini pagi esok.

Bagaimanapun kelmarin Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata pihaknya tidak mahu mereka cuba mengadakan perhimpunan haram bagi menyerahkan memorandum berhubung royalti minyak kepada Tuanku Mizan.

“Saya ingin menasihatkan pihak-pihak berkenaan bahawa itu bukanlah tempat yang sesuai untuk menyerahkan memorandum atau mengemukakan bantahan kerana Yang di-Pertuan Agong berangkat ke Terengganu di atas urusan-urusan tertentu.

“Saya tidak mahu mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan di atas kehadiran Tuanku untuk melakukan sesuatu yang di luar program yang telah ditetapkan oleh pihak istana,” katanya.

Mampat dan Gegar dilaporkan bercadang untuk menghimpunkan kira-kira 10,000 orang bagi menyerahkan dua memorandum berhubung tuntutan royalti minyak kepada Tuanku Mizan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Kedua-dua memorandum itu berkaitan dengan isu tuntutan royalti bagi Terengganu yang genap 10 tahun bulan ini manakala satu lagi menyentuh pertikaian tuntutan membabitkan Kelantan dan Putrajaya.

Kelantan mengemukakan tuntutannya tahun lalu.

Sempena penyerahan memorandum itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga dijadual akan menyempurnakan pelepasan konvoi 200 buah kereta peserta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan membawa memorandum itu.

Konvoi berkenaan akan bermula di Bukit Yong, Pasir Puteh sempadan Kelantan – Terengganu kira-kira pukul 8 pagi.

Mampat dan Gegar merupakan badan NGO yang telah menjadikan isu royalti sebagai suatu agenda khusus dalam perjuangannya.

Bagaimanapun Mohd Fauzi berkata pihaknya tidak akan menahan jika orang ramai ingin berhimpun di lapangan terbang untuk menyambut keberangkatan tiba Tuanku Mizan.

Kandungan memorandum tuntutan itu dibacakan pada akhir Dialog Perdana Isu Royalti dan Solat Hajat yang diadakan di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini malam tadi.

Sebaik sahaja kandungan itu dibacakan ia disokong oleh para hadirin dengan berdiri, majoritinya rakyat Terengganu.

Panel dialog itu ialah Ketua Umno Bahagian Gua Musang dan juga Ahli Parlimennya Tengku Razaleigh Hamzah.

Mohd Fauzi berkata pihaknya memohon perkenan agar ditubuhkan sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat pengurusan wang ihsan yang disalurkan kepada Terengganu.

Kata beliau, ada peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan suruhanjaya diraja sedemikian ditubuhkan untuk menyiasat perkara tersebut.

Selain itu memorandum itu juga meminta agar Umno Terengganu menarik balik syor yang dikemukakan oleh perwakilan dari negeri itu agar kerajaan pusat membatalkan pembayaran wang royalti selepas ia jatuh ke tangan PAS pada pilihan raya umum 1999.

“Salah satu perkara dalam memorandum ini ialah meminta Umno Terengganu menarik balik usul (syor) sedemikian ketika Perhimpunan Agung Umnon pada 2000 yang membawa kepada keputusan kerajaan pusat membatalkan bayaran wang royalti,” katanya.

Ketika ditanya tentang rasional langkah itu, Mohd Fauzi berkata ia bertujuan untuk insaf dengan kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin Umno kira-kira 10 tahun yang lalu.

“Sekurang-kurangnya kita mengakui kesilapan, sebagaimana dikatakan oleh Tengku Razaleigh sebentar tadi bahawa kerajaan persekutuan perlu mengaku kesilapan jika ada melakukan kesilapan (dalam menahan wang royalti),” katanya.


sumber: malaysiainsider

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails